Agihan pendapatan merit legakan kelab Liga-M

Iklan
FALIQ

 

PENYELESAIAN bayaran agihan pendapatan berdasarkan merit kepada kelab-kelab Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim lalu disambut positif ketika pasukan kini memberi tumpuan kepada saingan musim baharu 2026/27.

Iklan
Iklan

 

Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC (NSFC), Faliq Firdaus berkata, pihaknya menghargai usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyelesaikan komitmen berkenaan selepas bayaran diterima pada awal September.

Iklan

 

Menurutnya, pembayaran itu penting dalam membantu pengurusan aliran tunai selain memberi kepastian kepada kelab untuk merancang operasi dengan lebih teratur.

Iklan

 

“Bagi pihak kelab, pembayaran ini sememangnya penting dalam membantu pengurusan aliran tunai serta memenuhi komitmen operasi yang telah dirancang.

 

“Kami berharap segala urusan MFL dalam menguruskan keperluan kelab pada musim baharu ini berjalan lancar kerana kepastian dari segi kewangan amat penting dalam membantu kelab merancang dan mengurus operasi secara mampan.

 

“Kita juga memahami sedikit kelewatan agihan ini yang melibatkan pelbagai faktor dan perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak MFL.

 

“Namun, apa yang kita hargai adalah komunikasi yang baik daripada MFL yang sentiasa memberikan perkembangan dan penjelasan kepada pihak kelab dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, agihan tersebut turut membantu perancangan kewangan kelab, terutama bagi memastikan keperluan semasa dapat diurus tanpa menjejaskan perancangan yang ditetapkan.

 

“Sudah tentunya, pembayaran ini amat membantu Terengganu FC, khususnya dalam menguruskan komitmen dan perbelanjaan operasi kelab.

 

“Setiap sumber pendapatan yang diterima amat penting bagi memastikan perjalanan kelab dapat diuruskan dengan lebih baik dan lancar.

 

“Kami melihat inisiatif agihan pendapatan seperti ini sebagai satu usaha yang positif dalam membantu kelab-kelab Liga-M mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing.

 

“Ia juga memberi ruang kepada kelab untuk terus memberi fokus terhadap pembangunan pasukan serta memastikan persiapan menghadapi saingan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin,” katanya.

 

Nada sama turut disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Interim Sabah FC, Syazwan Imran yang menyifatkan agihan berkenaan sebagai suntikan penting dalam membantu kelab menghadapi tuntutan sepanjang musim.

 

“Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan kepada MFL atas agihan pendapatan secara merit yang telah diterima.

 

“Sumbangan ini amat bermakna kerana ia dapat membantu kelab menguruskan komitmen kewangan dengan lebih teratur, khususnya dalam memastikan operasi pasukan dapat berjalan lancar sepanjang musim.

 

“Kami percaya model agihan berdasarkan merit seperti ini mampu terus memberi galakan kepada kelab untuk meningkatkan prestasi agar kita dapat berusaha meletakkan kelab di kedudukan yang lebih baik pada setiap musim,” katanya.