MELAKA - Seorang lelaki warga Myanmar yang berperanan sebagai ejen sindiket pemalsuan dokumen warga asing dijatuhi hukuman penjara 13 tahun tujuh bulan selepas mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Tertuduh, San Lwin, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Myanmar.
Tertuduh berdepan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 474 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memiliki dokumen palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda bagi setiap pertuduhan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh juga berdepan lima pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport milik orang lain, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh juga berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 465 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kad UNHCR palsu sebagai tulen, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.
Turut didakwa dalam prosiding sama ialah dua lagi warga Myanmar iaitu Zaw Naing, 31, dan Khin Saw Wai, 26, yang masing-masing berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 serta Seksyen 474 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 466 Kanun Keseksaan.
Seorang lagi tertuduh, Muhammad Nur Hairul Boshar, 18, pula didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 465 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kad UNHCR palsu sebagai tulen.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di rumah beralamat di Pangsapuri Mawar 2, Taman Malim Jaya dalam daerah Melaka Tengah di sini sekitar jam 12 tengah hari 8 November tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan kedaulatan negara serta kegiatan sindiket imigresen yang semakin berleluasa.
San Lwin yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah dan memohon agar hukuman penjara dijalankan secara serentak.
Tertuduh turut memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak mengetahui perbuatannya itu salah di sisi undang-undang Malaysia.
Tertuduh yang masih bujang itu juga memberitahu bahawa dia menanggung ibunya yang uzur berusia 90 tahun serta tidak mampu bergerak, selain turut menjaga dua kakak yang merupakan ibu tunggal.
Dalam rayuannya, tertuduh menyatakan dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sebelum ini dan sekali lagi memohon hukuman penjara dijalankan secara serentak.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun tujuh bulan ke atas San Lwin, manakala Zaw Naing dan Khin Saw Wai masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.
Sementara itu, Muhammad Nur Hairul yang diwakili peguam, Shahrul Affandi didenda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 November 2025.