KLANG – Taktik sindiket antarabangsa mencampurkan dadah di dalam jus minimum berperisa buah-buahan dan minyak zaitun terbongkar susulan dua kontena yang mengandungi barangan itu dirampas di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merampas 408 kotak mengandungi 6,528 botol minyak zaitun yang disyaki dicampur dadah methylenedeioxy methamphetamine (MDMA).
"Kita turut merampas 54,930 kotak air minuman berperisa buah-buahan yang dicampur dadah jenis heroin. Keseluruhan rampasan bernilai RM80.3 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini pada Khamis.
Hussein berkata, kejayaan itu hasil operasi bersama antara JSJN Bukit Aman dan Australian Federal Police di bawah Joint Taskforce Tiger selepas menerima maklumat risikan mengenai dua kontena dari negara Timur Tengah yang transit di Malaysia sebelum dipercayai akan dihantar ke Australia.
"Maklumat awal mendapati kontena terbabit didaftarkan untuk membawa minyak zaitun dan air minuman berperisa buah-buahan.
"Pemeriksaan ke atas dua kontena itu dijalankan oleh sepasukan pegawai JSJN Bukit Aman di perkarangan Pejabat Polis Pelabuhan Pulau Indah pada jam 1.30 tengah hari," katanya.
Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Australian Federal Police serta rakan strategik lain sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sindiket atau organisasi antarabangsa yang terlibat dalam aktiviti penghantaran dadah ke luar negara menggunakan perkhidmatan kontena kargo.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah kerana jenayah tersebut bukan sahaja mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, malah mencemarkan imej serta maruah negara," tegasnya.