MATTA perkenal TRUST sempena MATTA Membership Summit 2026

Iklan
Presiden MATTA, Nigel Wong (lima dari kanan) bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (tengah) serta barisan kepimpinan MATTA ketika pelancaran inisiatif TRUST pada MATTA Membership Summit 2026 di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur.

PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memperkenalkan inisiatif baharu TRUST: Powered by MATTA bagi memperkukuh keyakinan, akauntabiliti dan standard profesional dalam ekosistem industri pelancongan negara.

Presidennya, Nigel Wong berkata, TRUST mencerminkan komitmen MATTA untuk menyokong industri pelancongan yang selamat, profesional dan mampan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan industri.

Iklan
Iklan

“Inisiatif itu menyokong pelaporan yang bertanggungjawab, perkongsian maklumat berinformasi dan ketelusan lebih tinggi selain melengkapi usaha penguatkuasaan sedia ada tanpa bertindih dengan fungsi kawal selia.

“TRUST menyediakan rangka kerja praktikal bagi mengukuhkan amalan industri bertanggungjawab termasuk menangani aktiviti haram dan tidak patuh, memperkukuh kredibiliti ejen pelancongan berlesen serta melindungi reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan dipercayai,” katanya pada sidang media majlis pelancaran MATTA Membership Summit 2026.

Iklan

Acara yang menghimpunkan ahli dari seluruh negara bagi tujuan penglibatan, dialog dan kerjasama strategik berkaitan hala tuju industri pelancongan Malaysia itu diadakan buat julung kali di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Pengerusi MATTA Membership Summit 2026, Chong Yu Ken; Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi MATTA, Datuk Mohd Hizzat Mohd Shah serta barisan kepimpinan dan ahli MATTA.

Iklan

Sidang kemuncak itu menjadi pencapaian penting dalam usaha MATTA memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) selain menjadi platform pertukaran pandangan antara pemain industri, pembuat dasar dan kepimpinan MATTA.

Bertemakan “Leadership, Challenges & the Future of Malaysia’s Travel Industry”, penganjuran MATTA Membership Summit 2026 menegaskan peranan MATTA sebagai suara kepada ahlinya serta memastikan pandangan industri terus diambil kira dalam perancangan dasar pelancongan negara.

Tambah Nigel, pelbagai cabaran semasa termasuk penipuan dalam talian dan amalan tidak beretika menyukarkan penguatkuasaan dilakukan oleh satu pihak sahaja, justeru MATTA tampil menyokong usaha tersebut melalui tiga pendekatan utama.

“Pertama, MATTA membangunkan satu sistem baharu dikenali sebagai TravelWatch.ai yang dilancarkan hari ini bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan akan melalui tempoh percubaan serta ujian konsep selama tiga bulan.

“Kedua, MATTA melaksanakan inisiatif bagi membina kepercayaan terhadap pengendali pelancongan yang sah dan ejen berlesen di Malaysia supaya pengguna menikmati keselamatan, kestabilan harga serta jaminan sokongan sepanjang perjalanan,” jelasnya.

Menurutnya, TRUST juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mengenal pasti pengendali tidak sah serta mengesan tanda-tanda awal penipuan yang menjejaskan industri.

Beliau berkata, pada peringkat awal, ia akan digunakan dalam kalangan pengendali industri, sebelum diperluaskan kepada pengguna awam bagi membolehkan mereka melaporkan kes penipuan atau pengendalian tidak sah.

“Platform ini berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini yang mampu mengesan, menilai dan mengumpul maklumat kes secara automatik, sekali gus membolehkan proses penyelidikan yang sebelum ini mengambil masa 20 hingga 30 jam diselesaikan dalam tempoh sekitar 15 minit atau kurang.

“Sistem ini juga membolehkan pengguna memuat naik pelbagai bentuk bukti termasuk video, audio, resit, dokumen dan imej. Semua maklumat akan dikenal pasti, dikatalogkan serta disimpan dalam pangkalan data berskala besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, King Sing berpandangan, penganjuran MATTA Membership Summit 2026 amat bertepatan pada masanya dan selari dengan keperluan semasa industri khususnya dalam aspek kepercayaan.

“Kejayaan industri pelancongan dibina atas asas kepercayaan dan promosi dari mulut ke mulut. Apabila pelawat percaya kepada industri, mereka akan membuat pembelian dengan yakin, mengesyorkan Malaysia kepada orang lain dan kembali semula sebagai pelancong.

“Namun, apabila kepercayaan terjejas, satu kes buruk boleh memberi kesan besar malah mampu merosakkan keseluruhan industri pelancongan. Justeru, MOTAC menyambut baik pelaksanaan inisiatif TRUST oleh MATTA, selari dengan penekanan kementerian terhadap kualiti perkhidmatan, nilai kepada pelanggan dan integriti industri,” katanya.

Tambah beliau, pada masa sama, pemain industri diingatkan supaya tidak menaikkan harga secara tidak munasabah.

“Keuntungan penting, tetapi mesti seiring dengan tanggungjawab. Keuntungan jangka pendek yang mengorbankan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelawat hanya akan melemahkan kredibiliti Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

“Penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang tidak boleh dikompromi namun ia perlu disokong dengan peraturan industri selamat serta kerjasama rapat antara pihak berkuasa dan industri. MATTA mempunyai peranan penting termasuk menangani isu seperti kes pengendalian Umrah yang menjejaskan keyakinan awam,” jelasnya.

King Sing berkata, dalam konteks itu, kementerian mewajibkan semua ejen pelancongan, khususnya yang terlibat dalam perniagaan ke luar negara menyediakan jaminan bank sebanyak RM250,000.

“Jaminan ini digunakan untuk membayar balik pelanggan sekiranya berlaku masalah dan kementerian juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi membenarkan penggunaan jaminan insurans sebagai alternatif dengan tarikh akhir pematuhan ditetapkan pada 15 Mei.

“Kementerian kini memberi tumpuan kepada penambahbaikan amalan industri termasuk memperkukuh keselamatan pelawat, meningkatkan keyakinan serta meneliti semula proses pelesenan supaya pengendali komited tidak terjejas akibat kelewatan tidak perlu,” katanya.