KUMPULAN AmBank mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2026 sekitar 4.5 peratus dengan ekonomi dijangka kekal berdaya tahan.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank, Firdaos Ramli berkata, unjuran tersebut dipacu permintaan domestik yang kukuh dengan penggunaan swasta dijangka berkembang sekitar 4.9 peratus namun prospek ini masih tertakluk kepada risiko dua hala dalam situasi global yang tidak menentu.
“Risiko peningkatan termasuk kitaran semikonduktor yang berpanjangan, pertumbuhan ekonomi global yang lebih kukuh, rangsangan melalui perbelanjaan fiskal serta penerimaan pelancongan yang lebih mantap bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia (VMY 2026).
“Sebaliknya, risiko penurunan berpunca terutamanya daripada sektor luaran khususnya ketegangan geopolitik dan perdagangan yang berterusan, kelembapan yang lebih ketara dalam kalangan rakan dagang utama seperti China serta risiko pembetulan susulan kitaran super perbelanjaan modal (capex) yang dipacu kecerdasan buatan (AI) kebelakangan ini,” katanya pada taklimat media Unjuran Makro Ekonomi 2026 AmBank pada Khamis.
Menurutnya, pelaksanaan langkah kerajaan seperti semakan gaji perkhidmatan awam, bantuan tunai sekali beri SARA sebanyak RM100 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas serta kesinambungan bantuan tunai bersasar dijangka terus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
"Ini sepatutnya bertindak sebagai penampan penting terhadap hakisan kuasa beli isi rumah seperti yang dibuktikan oleh peningkatan terkini dalam pinjaman tidak berbayar (NPL) kad kredit.
"Walau bagaimanapun, faktor sokongan ini dijangka diseimbangkan oleh persekitaran perbelanjaan yang lebih berhati-hati seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan kredit isi rumah yang semakin perlahan.
"Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan penggunaan swasta menyederhana sedikit kepada sedikit di bawah 5 peratus pada 2026 berbanding melebihi 5 peratus dalam dua tahun sebelumnya, namun ia masih mencerminkan kadar yang sihat mengikut piawaian sejarah," katanya.
Dalam pada itu, sektor perkhidmatan pula dijangka terus mendapat manfaat daripada aktiviti pelancongan yang lebih rancak di bawah kempen VMY2026.
Sasaran 43 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada 2026, kira-kira 10 peratus lebih tinggi berbanding anggaran hampir 40 juta pada 2025 dijangka mengukuhkan pelancongan sebagai tonggak utama pertumbuhan ekonomi.
Pelancongan telah menyumbang 15.1 peratus kepada KDNK pada 2024, meningkat daripada 12.8 peratus semasa pandemik dan berada pada landasan untuk kembali atau melepasi paras pra-pandemik 15.9 peratus.
Kesan limpahan dijangka dirasai dalam sektor pengangkutan, peruncitan dan hospitaliti sekali gus menyokong penciptaan pekerjaan.
Dari segi buruh, kadar pengangguran Malaysia menurun kepada 2.9 peratus pada November 2025, paras terendah sejak November 2014.
AmBank menjangkakan kadar itu kekal sekitar 3.0 peratus pada 2026 walaupun berdepan cabaran persekitaran perdagangan global.
Bagaimanapun, dari segi angka mutlak masih terdapat kira-kira 500,000 individu dalam kumpulan boleh bekerja yang tidak bekerja atas pelbagai faktor.
Sementara itu, inflasi Malaysia dijangka sederhana pada 1.8 peratus pada 2026 meningkat daripada anggaran 1.4 peratus pada 2025.
Kenaikan ini didorong kesan asas rendah serta pelarasan tarif air dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) namun diimbangi harga komoditi global yang lebih rendah serta pengukuhan ringgit.
AmBank turut menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 2.75 peratus sepanjang 2026 susulan pemotongan awal 25 mata asas pada 2025.
“Dengan pasaran buruh yang ketat dan inflasi terkawal, Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat tidak mempunyai keperluan mendesak untuk mengubah pendirian dasar monetarinya,” katanya.