BURSA Malaysia Berhad mengambil langkah strategik untuk memperkukuh ketelusan pasaran apabila mula memaparkan Penarafan Tadbir Urus Korporat (CG) bagi syarikat tersenarai awam (PLC) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE menerusi platform MyBURSA.
Inisiatif itu membolehkan pelabur mengakses penilaian tadbir urus setiap PLC secara langsung, sekali gus membantu mereka membuat keputusan pelaburan yang lebih bermaklumat serta menyeluruh, di samping meningkatkan daya tarikan syarikat Malaysia kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.
Penarafan CG tersebut dinilai secara bebas oleh Minority Shareholders Watch Group (MSWG) selaku Badan Penarafan Domestik, menggunakan metodologi ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS).
Metodologi ini sejajar dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD dan disokong oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF), membolehkan perbandingan standard tadbir urus merentas pasaran berasaskan amalan terbaik antarabangsa.
Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia, Julian M Hashim berkata, ketersediaan penarafan CG di MyBURSA membolehkan pelabur menilai kualiti tadbir urus PLC bersama data penting lain, termasuk prestasi kewangan dan kemampanan.
“Ini membolehkan penilaian risiko yang lebih holistik serta analisis nilai jangka panjang yang lebih tepat. Bagi PLC pula, pendedahan penarafan CG berfungsi sebagai penanda aras untuk penambahbaikan berterusan dan meningkatkan daya saing dalam menarik modal global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, integrasi penarafan CG itu turut melengkapkan penarafan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang sedia ada di MyBURSA, sekali gus memperkukuh ekosistem maklumat pasaran modal Malaysia dengan data yang komprehensif, boleh dibandingkan dan relevan untuk keputusan pelaburan.
Penilaian MSWG dibuat berdasarkan maklumat yang didedahkan secara awam, termasuk Laporan Tahunan, Laporan Tadbir Urus Korporat, Laporan Kemampanan serta dokumen lain yang tersedia dalam domain awam.
Langkah ini dilihat sebagai satu usaha berterusan Bursa Malaysia untuk meningkatkan standard tadbir urus korporat, menggalakkan akauntabiliti syarikat tersenarai dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara.