KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disepina untuk memberikan keterangan selaku saksi plaintif di Mahkamah Tinggi di sini dalam kes saman RM30 juta oleh 12 individu terhadap ahli perniagaan, Vinod Sekhar dan isterinya, Winny Yeap Liew Heoh.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Messrs Goh Wong Pereira membuat permohonan sepina tersebut Khamis minggu lalu.
Anwar diperintah hadir bagi prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah jam 10.30 pagi pada 16, 22 dan 23 Januari untuk memberikan keterangan bagi pihak 12 plaintif.
Sementara itu, peguam, Colin Pereira mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan perintah berkenaan telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Rabu.
“Kami telah menyerahkan sepina itu melalui e-mel, kurier dan secara serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri dan pihak berkenaan telah mengesahkan penerimaan dokumen tersebut.
“Prosiding yang dijadualkan esok telah dilapangkan dan akan bersambung pada 20 dan 21 April termasuk 25 Jun depan,” katanya.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Tambun itu perlu hadir memberikan keterangan kecuali pihaknya memfailkan permohonan untuk mengetepikan sepina.
Pada 2023, Vinod dan isterinya telah disaman oleh 12 individu atas dakwaan salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak.
Seramai 10 daripada 12 plaintif tersebut merupakan pelaburnya iaitu Graham David Bell, Arthur J Mirante II, Ronald Barrie Clapham, Charles Robert Henry Stone, Paul Sallis Benney, Paul Nicholas Smith, Octavio Augusto Vallarino Arias, Simon Hafeitz Homsany, Talbortt Gerard Young dan Uri Fruchtmann.
Dua plaintif selebihnya ialah Andrew Murray-Watson dan April Srivikorn yang merupakan bekas pekerja Vinod.
Kumpulan plaintif itu mendakwa bahawa Vinod telah memujuk mereka untuk melaburkan wang sama ada dengannya atau melalui pelbagai syarikat miliknya, tanpa mendedahkan status kebankrapan yang didakwa ketika itu.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif berkata mereka telah menyoal Vinod mengenai isu kebankrapan tersebut melalui e-mel pada 30 September 2020.
Vinod didakwa telah mengambil ringan perkara itu dan seolah-olah mencadangkan bahawa seorang individu bernama ‘Anwar’ akan menguruskan perkara tersebut dan membuatkan mereka percaya bahawa lelaki tersebut merujuk kepada Perdana Menteri.