SYDNEY – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun telah dihantar pulang dari Australia selepas pihak berkuasa sempadan menemui lebih 100 imej bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam telefon bimbitnya.
Lelaki tersebut tiba di Sydney dan telah dipilih untuk pemeriksaan peranti oleh Australian Border Force (ABF).
“Dalam telefon miliknya, pegawai dipercayai menemui lebih 100 imej CSAM, termasuk imej berbentuk anime serta gambar yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Lelaki itu ditahan untuk soal siasat sebelum dihantar pulang ke Malaysia. Visa beliau juga telah dibatalkan,” menurut kenyataan ABF seperti dilaporkan The Star.
Warga Malaysia itu merupakan antara 17 pelancong yang ditahan ABF di beberapa lokasi di Australia, termasuk New South Wales, Australia Barat, Australia Selatan dan Queensland, dalam tempoh antara 1 hingga 14 Januari lalu.
Individu lain yang didakwa turut ditangkap memiliki CSAM dalam peranti masing-masing termasuk lelaki warga Australia berusia 70, 57 dan 24 tahun, serta seorang wanita warga Australia berusia 27 tahun.
ABF memaklumkan bahawa pegawainya telah menghalang lebih 435 individu yang berpotensi terlibat dalam kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di lapangan terbang seluruh negara antara 1 Januari 2024 hingga 31 Disember tahun lalu.
Komander ABF, David Coyles berkata, pegawai agensi itu terlatih mengenal pasti individu yang cuba membawa bahan seumpama itu merentasi sempadan negara.