TOKYO – Satu kajian oleh Kerajaan Metropolitan Tokyo mendapati kira-kira satu daripada enam lelaki yang menggunakan tren dan stesen di bandar itu mengaku pernah menjadi mangsa cabul, satu angka yang disifatkan pakar sebagai mengejutkan dan mencabar tanggapan bahawa wanita sahaja menjadi sasaran utama pelaku gangguan seksual.
Kajian tersebut mendapati 15.1 peratus lelaki melaporkan pernah diraba atau disentuh secara tidak wajar, manakala 54.3 peratus wanita menyatakan mereka pernah mengalami gangguan seksual ketika menggunakan pengangkutan awam.
Walaupun peratusan wanita masih jauh lebih tinggi, angka bagi lelaki dianggap luar jangkaan dan signifikan.
Profesor Takayuki Harada dari University of Tsukuba berkata, dapatan itu sangat mengejutkan kerana kajian-kajian sebelum ini oleh kerajaan Jepun lazimnya menunjukkan kadar mangsa lelaki sekitar lima peratus dan tidak pernah melepasi 10 peratus.
“Saya sangat terkejut dengan angka 15 peratus ini kerana tinjauan terdahulu secara konsisten melaporkan angka yang jauh lebih rendah,” katanya.
Kajian terbaharu ini dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha bermula 2023 untuk memahami skala sebenar serangan seksual di pengangkutan awam Tokyo.
Tinjauan sebelum ini menganggarkan sekitar 20 peratus wanita dan kurang daripada 10 peratus lelaki pernah menjadi mangsa, menjadikan dapatan terbaharu ini satu peningkatan ketara bagi kedua-dua jantina.
Harada, yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman bekerja dengan pesalah seksual di penjara, klinik kesihatan mental dan hospital berkata, peningkatan angka itu mungkin didorong oleh kesedaran awam yang semakin tinggi mengenai keganasan seksual di Jepun.
Beliau mengaitkan perubahan ini dengan pendedahan pada 2023 terhadap mogul muzik Jepun, Johnny Kitagawa, sebagai pemangsa seksual bersiri. Ratusan kanak-kanak lelaki dan remaja tampil mendakwa mereka dicabul berulang kali dan dipaksa berdiam diri demi peluang kerjaya dalam industri hiburan yang dikuasainya.
“Rasa malu sememangnya faktor utama mengapa kes tidak dilaporkan sebelum ini. Ramai lelaki dan kanak-kanak lelaki takut tidak dipercayai atau dipersendakan, bukannya menerima sokongan sebagai mangsa,” katanya.
Menurut Harada, kesan terhadap mangsa lelaki boleh menjadi sangat serius, sama seperti wanita.
“Ada yang berasa malu, ada yang mengelak menaiki tren, dan ini boleh menjejaskan pekerjaan, pendidikan atau kehidupan sosial mereka. Dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan tekanan berpanjangan dan kewaspadaan melampau,” jelasnya.
Fokus pihak berkuasa yang selama ini lebih tertumpu kepada perlindungan penumpang wanita juga, menurut pakar, secara tidak langsung mengukuhkan stereotaip bahawa wanita lebih lemah dan lelaki sepatutnya mampu menjaga diri sendiri.
Pengakuan mangsa lelaki
Satu laporan mengenai mangsa lelaki yang disiarkan dalam majalah berita Shueisha pada 20 Januari lalu mencetuskan gelombang pengakuan lelaki yang berkongsi pengalaman dan kesan trauma mereka.
Antara luahan yang dikongsi termasuk mangsa yang dicabul ketika di sekolah menengah, individu yang memilih untuk turun di stesen seterusnya tanpa membuat laporan, serta mangsa yang berhenti berkongsi pengalaman kerana sering diketawakan.
“Parut itu tidak akan hilang. Lebih ramai mangsa lelaki perlu bersuara,” kata seorang mangsa.
Menariknya, beberapa mangsa mendakwa pelaku adalah wanita. Namun, satu laporan oleh Cabinet Office Japan tahun lalu menunjukkan 44.1 peratus mangsa lelaki mengenal pasti pelaku sebagai lelaki, manakala 42.5 peratus berkata mereka dicabul oleh wanita, dan selebihnya tidak dapat mengenal pasti jantina pelaku.
Harada bagaimanapun meragui angka itu, sambil menyatakan berdasarkan pengalaman klinikalnya, hampir semua pelaku adalah lelaki, dan sesetengah mangsa mungkin memilih untuk menganggap pelaku sebagai wanita kerana faktor psikologi.
Beliau turut berpandangan masalah “chikan” di Jepun sukar dihapuskan sepenuhnya kerana melibatkan pelbagai faktor termasuk penyimpangan seksual, keinginan mendapatkan keseronokan, pelepasan tekanan dan pengaruh alkohol.
Data penuh bagi tangkapan kes cabul pada 2025 masih belum tersedia, namun pada tahun fiskal 2024, 2,254 tangkapan direkodkan di seluruh Jepun, dengan 1,321 kes berlaku di tren dan stesen. - Agensi