HONG KONG, China - Saham Asia meningkat pada Khamis, manakala logam berharga seperti emas dan perak meneruskan penurunan, selepas Donald Trump berundur daripada ancamannya untuk mengenakan tarif ke atas beberapa negara utama Eropah susulan bantahan mereka terhadap usaha Amerika Syarikat (AS) mengambil alih Greenland.
Kenaikan pasaran turut didorong oleh lonjakan saham gergasi teknologi serantau, apabila tema kecerdasan buatan (AI) kembali menjadi tumpuan selepas ketua Nvidia Jensen Huang menyatakan sektor itu memerlukan pelaburan tambahan bernilai bertrilion dolar.
Pasaran minggu ini dilanda turun naik ketara selepas Trump pada hujung minggu lalu berkata beliau akan mengenakan levi ke atas beberapa negara, termasuk Jerman, Perancis, Britain dan Denmark, berikutan tentangan mereka terhadap hasrat Washington mengambil alih pulau di Atlantik Utara itu.
Ancaman tersebut mencetuskan amaran tindak balas balas, dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron membayangkan kemungkinan menggunakan satu instrumen ekonomi yang kuat tetapi jarang digunakan bagi mengekang paksaan ekonomi, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlakunya perang dagang antara kuasa ekonomi utama dunia.
Namun, sentimen pelabur kembali reda pada Rabu apabila Presiden AS itu memberitahu World Economic Forum (WEF) di Davos bahawa beliau tidak akan mengambil wilayah autonomi Denmark itu secara paksaan, seperti yang pernah dibayangkan sebelum ini, dan kemudiannya mengumumkan penarikan balik ancaman tarif tersebut.
“Kami telah membentuk rangka kerja bagi perjanjian masa depan berkaitan Greenland dan, sebenarnya, seluruh rantau Artik,” tulisnya dalam satu hantaran di Truth Social tanpa memperincikan butiran lanjut.
“Berdasarkan persefahaman ini, saya tidak akan mengenakan tarif yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Februari,” tambahnya.
Perkembangan itu mencetuskan lonjakan lebih satu peratus dalam pasaran saham AS, yang sebelum ini merudum pada Selasa selepas kembali daripada cuti panjang.
Pasaran Asia turut mengikut jejak langkah, dengan Tokyo, Hong Kong, Shanghai, Sydney, Seoul, Singapura, Taipei dan Manila mencatat kenaikan.
Emas, perak menurun
Emas dan perak, yang mencatat beberapa paras tertinggi rekod minggu ini susulan aliran masuk ke aset selamat oleh pelabur yang bimbang, kedua-duanya susut pada Rabu dan meneruskan penurunan dalam dagangan Asia.
“Selepas beberapa hari pasaran resah apabila isu Greenland berubah daripada sekadar isu diplomatik kepada senjata tarif, Trump tiba di Davos dan melakukan apa yang kini dijangka pasaran iaitu meredakan ketegangan. Tiada kekerasan. Tiada tarif Februari,” tulis Stephen Innes dari SPI Asset Management.
Beliau menambah terdapat cukup kekaburan untuk mengekalkan kelebihan rundingan, tetapi cukup jaminan untuk melepaskan tekanan. Dalam bahasa pedagang, pasaran beralih daripada menilai bom tangan aktif kepada menilai opsyen yang tamat tempoh pada masa akan datang.
Pemerhati berkata, terdapat peningkatan optimisme dalam kalangan pelabur terhadap konsep “Trump put”, iaitu kepercayaan bahawa kejatuhan besar pasaran saham akan memaksa presiden menukar haluan.
Kenaikan di Asia diterajui oleh pasaran sarat teknologi seperti Tokyo, Taipei dan Seoul, dengan Seoul melepasi paras 5,000 mata buat pertama kali, disokong kenaikan besar saham syarikat cip.
Lonjakan itu berlaku selepas Jensen memberitahu WEF bahawa infrastruktur untuk membangunkan dan menggerakkan model AI generatif memerlukan perbelanjaan yang jauh lebih besar.
Beliau berkata kepada para perwakilan bahawa ledakan AI hari ini telah memulakan pembinaan infrastruktur terbesar dalam sejarah manusia.
“Kita kini sudah melabur beberapa ratus bilion dolar... dan masih terdapat keperluan membina infrastruktur bernilai trilion dolar dalam bidang termasuk tenaga, pengkomputeran awan dan elektronik,"katanya.
Peneraju cip Korea Selatan, Samsung Electronics dan SK hynix, melonjak lebih tiga peratus. Di Jepun, gergasi pelaburan teknologi SoftBank Group meningkat lebih tujuh peratus, manakala syarikat berkaitan cip Advantest dan Tokyo Electron masing-masing naik lebih empat peratus.
Pengeluar alat ketepatan Jepun, Disco Corporation, melonjak 17 peratus di Tokyo selepas mencatat pendapatan melebihi jangkaan.
Di Taipei, TSMC meningkat lebih satu peratus. - AFP
Info:
Tokyo – Nikkei 225: naik 1.9% kepada 53,760.85
Hong Kong – Indeks Hang Seng: naik 0.2% kepada 26,630.21
Shanghai – Indeks Komposit: naik 0.2% kepada 4,123.69
Euro/dolar: naik kepada AS$1.1686 daripada AS$1.1683
Pound/dolar: naik kepada AS$1.3428 daripada AS$1.3418
Dolar/yen: turun kepada 158.32 yen daripada 158.43 yen
Euro/pound: turun kepada 87.02 pence daripada 87.08 pence
Minyak WTI: naik 0.1% kepada AS$60.69 setong
Minyak Brent: naik 0.1% kepada AS$65.29 setong
New York – Dow: naik 1.2% kepada 49,077.23 (penutup)
London – FTSE 100: naik 0.1% kepada 10,138.09 (penutup)