ISU penternakan babi mencetuskan perdebatan hangat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan mengusulkan wakil rakyat untuk merasai pengalaman sebenar penduduk yang menghidu bau busuk lebih dua dekad lalu.
Rentetan daripada titah itu, wartawan menyelami isi hati penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang mendakwa terpaksa menghidu bau busuk setiap kali lori membawa haiwan ternakan itu melalui kawasan kediaman.
Bau itu bukan sahaja mengganggu kehidupan seharian malah menjejaskan keselesaan, kesihatan, perniagaan serta potensi pelancongan di kawasan pantai berkenaan sekali gus mendorong mereka menyokong cadangan pemindahan ladang babi
Justeru itu, pemindahan industri penternakan babi ke kawasan seluas 202 hektar di Bukit Tagar, Hulu Selangor dilaksanakan segera tahun ini berbanding perancangan terdahulu yang dijangka pada 2030.
Langkah awal diambil dengan menyelesaikan isu tanah di Bukit Tagar dan syarat industri penternakan itu diperketatkan dengan menggunakan konsep pertanian moden, tertutup, tiada kumbahan mengalir keluar, mesti ada dengan zon penampan besar antara ladang ke ladang dan sempadan luar, ada sistem ZDP (zero discharge policy) dan ladang dibuat secara tertutup seperti penternakan ayam.
Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) turut menyifatkan langkah itu penyelesaian strategik dan praktikal yang boleh mengatasi isu pencemaran dan konflik kawasan penempatan.
Ikuti pandangan golongan masyarakat mengenai industri penternakan babi di negar ini menerusi Pendapat Rakyat.
Sistem moden, tersusun jamin kesejahteraan rakyat
INISIATIF yang dijalankan kerajaan Selangor wajar dicontohi oleh negeri penternakan babi paling besar iaitu Perak.
Penternakan berpusat dan moden serta mempunyai zon penampan yang jauh daripada kediaman penduduk adalah baik untuk kesejahteraan rakyat setempat.
Bagi penduduk di Bidor, lebih dua dekad terpaksa menghidu bau busuk yang menyengat dari arah ladang ternakan babi yang terletak kurang satu kilometer daripada penempatan penduduk kampung yang majoriti adalah Islam.
Kami juga berhadapan dengan pencemaran sungai kerana ladang tersebut beroperasi di hulu sungai yang bukan sahaja air bertukar warna kehitaman tetapi menjejaskan aktiviti nelayan darat serta pendapatan penduduk kampung.
Aduan sering dibuat dan piket dijalankan untuk pindah aktiviti penternakan itu ke kawasan bersesuaian namun suara kami tidak didengari malah, tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil, sebaliknya tanah di kawasan itu pula digazetkan sebagai ladang penternakan babi.
- Pesara, Mohamad Yunus Abu, 52.
Penternakan babi jana ekonomi
SAYA setuju ladang berskala besar diwujudkan setelah mengambil kira perspektif pencemaran air dan udara kerana bau busuk daripada penternakan babi memang tidak boleh tahan selari seperti yang dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin baru-baru ini.
Dari sudut industri, ia penting kerana daging babi adalah salah satu sumber makanan negara terutama masyarakat bukan Islam dan bagi kami menjelang perayaan besar atau tradisi keluarga, kami akan menggunakan hidangan babi mengikut kepercayaan untuk ditawarkan kepada dewa-dewa.
Saya percaya penternakan babi merupakan sumber penjanaan ekonomi negara dengan harga seekor lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 dan sekiranya industri disekat, ia akan memberi kesan kepada kaum Cina untuk dapat sumber makanan yang mana hidangan tradisional melambangkan kekayaan, kemakmuran selain simbol perayaan.
Mengenai kesan pencemaran, sebenarnya pihak industri boleh mengambil kira impak yang berupaya dikurangkan dengan penggunaan teknologi terutama melibatkan sisa perkumuhan babi.
Memandangkan semua ladang akan dipindahkan ke Bukit Tagar sebagai satu ladang besar, saya cadangkan pemilik ladang ni secara kolektif membuat pelaburan penggunaan teknologi terkini agar tiada isu berbangkit timbul di masa akan datang.
- Pentadbir jualan, Christoper Teh, 33.
Piawaian ketat impak alam sekitar
PENUBUHAN ladang penternakan babi berskala besar perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati supaya pembangunan yang dijalankan berlaku secara mampan.
Walaupun ia berpotensi meningkatkan bekalan makanan dan memberi sumbangan ekonomi, jika pengurusan tidak baik, ia boleh memberi kesan negatif terhadap alam sekitar, kualiti udara dan sumber air di kawasan sekitar.
Oleh itu, saya menyokong penubuhan ladang tersebut hanya jika ia mematuhi standard alam sekitar dan kesihatan awam yang ketat.
Industri penternakan babi ini bukan sahaja menyumbang kepada bekalan daging babi, tetapi juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang perkembangan rantaian industri berkaitan.
Saya melihat isu ini bersifat komprehensif, sensitiviti masyarakat tidak boleh diabaikan, terutama di kawasan yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama, kerana tahap penerimaan masyarakat berbeza-beza.
Sebarang keputusan perlu seimbang antara aspek alam sekitar, kesihatan awam dan sensitiviti masyarakat melalui penglibatan awam dan penguatkuasaan ketat.
- Pekerja swasta, Cheng Veng Kie, 30.
Libat urus rakyat sebelum ternak babi
KERAJAAN wajar mewajibkan sesi libat urus bersama penduduk setempat sebelum sebarang kelulusan diberi bagi memastikan pandangan masyarakat diambil kira dan mengelakkan konflik berpanjangan.
Pembinaan kandang babi di kawasan terutama berhampiran penduduk merupakan isu besar yang mana ia boleh memberi kesan kepada sensitiviti agama, kebersihan persekitaran dan kesejahteraan penduduk setempat.
Pada pandangan saya, penternakan babi mempunyai kepentingan terhad kepada sektor tertentu sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai keperluan utama ekonomi atau bekalan negara.
Sebarang pelaksanaannya perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat, alam sekitar dan keharmonian sosial, bukan semata-mata keuntungan ekonomi.
- Operator kilang, Adib Uthman Mohd Apan, 26.