KUALA LUMPUR - Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) kini menjadi pemangkin utama dalam revolusi industri pertahanan Malaysia, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), GEMPUR30.
Pelan ini meletakkan Boustead Holdings Berhad - syarikat milik penuh LTAT - sebagai teras strategik dalam membina keupayaan serta memperkukuh industri pertahanan negara.
Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LTAT melihat pelancaran DIPN sebagai detik penting untuk memperkukuh kedaulatan negara dan membangunkan sektor pertahanan tempatan yang mampan, berdaya saing, serta berorientasikan teknologi tinggi.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, dasar itu membuka peluang strategik untuk menjadikan Malaysia Hab Pertahanan Serantau, selari dengan komitmen berterusan LTAT terhadap Kementerian Pertahanan (Mindef).
“Di bawah GEMPUR30, Boustead memainkan peranan utama dalam membina keupayaan tempatan, menyerap teknologi melalui perkongsian berdisiplin, dan memastikan matlamat dasar diterjemahkan kepada hasil praktikal serta berimpak tinggi,” katanya pada Rabu.
Beliau menambah sokongan LTAT terhadap Mindef memastikan industri pertahanan tempatan memberi impak jangka panjang kepada ekosistem industri, ekonomi negara, dan kesiapsiagaan pertahanan.
“Pelaksanaan DIPN jelas mencerminkan mandat LTAT sebagai pelabur jangka panjang untuk menyokong keselamatan negara, pembangunan teknologi, dan kesejahteraan anggota ATM,” kata Mohammad Ashraf.
Melalui tadbir urus yang kukuh, pelaburan berdisiplin, dan kerjasama rapat dengan Mindef serta rakan industri, LTAT komited untuk menyokong pemindahan teknologi, mengukuhkan ekosistem vendor tempatan dan membangunkan projek pertahanan nasional yang mampan.
Pelancaran DIPN disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan dasar itu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan negara, memulihkan keyakinan terhadap sektor pertahanan, dan membina industri pertahanan tempatan yang berwibawa dan berintegriti.
Beliau menekankan, pelaksanaan DIPN digerakkan oleh empat tonggak utama: pengukuhan tadbir urus dan institusi, pembangunan keupayaan teknologi, pemantapan ekosistem serta rantaian bekalan tempatan, dan peningkatan daya saing global serta keupayaan eksport.
Pelancaran ini menandakan strategi kerajaan untuk memperkukuh rantaian nilai industri pertahanan negara, mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, dan merangsang pertumbuhan teknologi tempatan yang berimpak tinggi.