SHAH ALAM - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) merasmikan Pusat Pembelajaran Imersif sebagai usaha memperluas akses kepada sumber maklumat digital serta menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam kalangan masyarakat.
PNM dalam kenyataan memaklumkan, penggunaan teknologi dilihat sebagai medium penting bagi memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi pelaksanaan program literasi digital yang lebih komprehensif.
Menurut kenyataan itu, Pusat Pembelajaran Imersif merupakan inisiatif strategik yang memanfaatkan teknologi terkini termasuk Realiti Maya (VR), Realiti Terimbuh (AR), Metasemesta (metaverse), hologram, Avatar Pustakawan, skrin LED melengkung, panel interaktif, Robozone serta AR Photobooth.
“Inisiatif ini bertujuan memperkaya pengalaman pembelajaran digital kepada pengguna selain memperkukuh peranan PNM sebagai peneraju institusi perpustakaan yang moden dan progresif di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Pusat Pembelajaran Imersif adalah projek di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 5 serta merupakan sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2025 di bawah Pendigitalan Khazanah Warisan Negara.
Projek itu bermula pada 15 Mac 2025 dan siap sepenuhnya pada 28 November 2025.
Majlis Pembukaan Pusat Pembelajaran Imersif di PNM disempurnakan oleh Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli, pada Rabu.
Menurut kenyataan itu lagi, PNM akan terus memperluas penggunaan teknologi moden dalam setiap perkhidmatan perpustakaannya.
"Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pembangunan modal insan, malah turut mengukuhkan perpaduan nasional.
"Ia dilaksanakan menerusi penyediaan peluang pembelajaran yang inklusif dan bersepadu, berasaskan teknologi kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau tahap pendidikan," ujarnya