AKPS bebas bertindak tanpa kompromi terhadap petugas terlibat rasuah - Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diberi kebebasan sepenuhnya untuk bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai dan kakitangan yang melanggar etika serta integriti ketika menjalankan tugas, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, penangkapan 29 pegawai dan kakitangan AKPS kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa membuktikan kes salah laku di agensi itu sama sekali tidak disembunyikan atas alasan untuk menjaga nama baik agensi berkenaan.

Iklan
Iklan

Saifuddin Nasution berkata, hakikat bahawa kes itu berjaya ditangkap menunjukkan tiada kompromi terhadap perbuatan melanggar etika, tatatertib dan integriti.

"Saya tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap keupayaan kepimpinan AKPS dalam memastikan tiada pelanggaran integriti. Sekiranya berlaku, tindakan akan diambil dan dimaklumkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung tindakan diambil terhadap kakitangan AKPS yang ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa termasuk aktiviti counter setting, selain keperluan menambah anggota AKPS di pintu masuk negara.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, AKPS bekerjasama dengan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen dalam memastikan pegawai dan kakitangan sentiasa berintegriti ketika menjalankan tugas selain melaksanakan Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993, termasuk hukuman buang kerja.

Iklan

Dalam isu kapasiti anggota AKPS yang diperlukan, beliau berkata, pengambilan anggota akan dilakukan secara berperingkat dengan memberikan tumpuan kepada pintu masuk berisiko tinggi dan aktif.

"Hingga kini terdapat 6,866 anggota daripada pelbagai agensi yang menjaga 122 pintu masuk aktif daripada 140 keseluruhan pintu masuk negara.

"Secara idealnya, kita perlu ada 13,721 anggota, namun pengambilan anggota perlu dibuat secara berfasa termasuk yang terbaharu pengambilan 200 bekas tentera diluluskan dan kita akan penuhi pengambilan itu,” katanya. - Bernama