SHAH ALAM - Pengumuman mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 mencuri tumpuan ramai, lebih-lebih lagi tentang pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala Darjah Satu pula enam tahun mulai 2027.
Meskipun perubahan hanya pilihan dan belum diwajibkan kepada ibu bapa, segelintir pengguna media sosial khususnya ibu bapa mengakui keliru, namun ada juga yang teruja menantikan pelaksanaannya tahun depan.
Gelagat warga maya membincangkan perkara tersebut mengundang pelbagai reaksi, lebih-lebih lagi ada yang mengaitkannya dengan jenaka '6 7', satu 'meme' tular di TikTok dan sering digunakan oleh kanak-kanak.
Menjengah di ruangan Threads, seorang pengguna platform tersebut iaitu @acapafiq_ memuat naik status menggambarkan situasi murid Darjah Satu di dalam kelas, namun ia mengundang reaksi geli hati orang ramai apabila ia dikaitkan dengan jenaka '6 7'.
Tidak kurang juga yang berseloroh dengan mengatakan kerajaan semakin mengikuti trend semasa.
Bukan itu sahaja, ada yang berpandangan bakal timbul kekeliruan dalam sistem pengkelasan murid sekolah.
"Lima tahun prasekolah, enam tahun Darjah Satu, tujuh tahun Darjah Satu 'Pro Max' pula," komen @anjangz90.
Di platform X pula, rata-rata pengguna hangat membincangkan isu persekolahan anak-anak.
"Seronok tengok kawan-kawan yang panjat pagar dan ponteng sekolah sama-sama dulu, sekarang berdiskusi secara serius pasal anak kena mula sekolah umur enam tahun," kata @amerhadiazmi.
Dalam masa sama, ada juga mengakui tidak berdepan masalah sekiranya Darjah Satu bermula pada usia enam tahun.
Namun, bagi pengguna akaun @KittyAriba, kerajaan perlu menitikberatkan soal lambakan murid di dalam satu kelas.
"Saya tiada masalah kalau enam tahun masuk Darjah Satu awal kerana tidak dinafikan mereka sudah 'advance', tetapi sekolah di kawasan saya satu kelas Darjah Satu seramai 50 orang.
"Jika tahun depan tambah lagi murid umur enam tahun, bagaimana keadaan kelas itu?" soalnya.
Meskipun komen-komen di media sosial hanya gurauan semata-mata, di sebaliknya terdapat kegusaran yang jelas dihadapi golongan ibu bapa.