MELAKA - Seorang wanita kerugian RM8,800 selepas terpedaya dengan penipuan dalam talian yang menawarkan bayaran deposit serendah RM8 bagi tempahan perkhidmatan membaiki mesin basuh pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa seorang operator kilang berusia 37 tahun dikatakan melayari Facebook ketika berada di rumahnya di Kampung Tun Razak, Bukit Katil bagi mencari perkhidmatan pembaikan mesin basuh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa kemudian menemui satu akaun Facebook sebelum menghubungi individu terbabit melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek kemudian memberikan satu pautan kepada mangsa untuk membuat bayaran deposit sebanyak RM8 sebagai caj tempahan.
“Bagaimanapun, selepas mangsa menekan pautan tersebut, didapati telah berlaku tiga transaksi pengeluaran wang daripada akaun milik mangsa tanpa kebenarannya, dengan jumlah keseluruhan RM8,800,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, mangsa menyedari dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Malim bagi tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
“Hasil siasatan awal mendapati komunikasi antara mangsa dan suspek berlaku melalui WhatsApp.
“Polis telah memohon maklumat daripada institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran perkhidmatan dalam talian yang meminta bayaran melalui pautan mencurigakan, terutamanya di platform media sosial.