MELAKA – Permohonan penukaran MyKad di negeri ini meningkat sebanyak 140 peratus sejak kerajaan melaksanakan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Budi Madani RON95 (BUDI95).
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Mohd Dzulkarnain Baharuddin berkata, kebanyakan permohonan dibuat berikutan masalah cip MyKad yang gagal diakses.
Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu iaitu semasa pelaksanaan SARA, seramai 1,820 individu telah mengemukakan permohonan penukaran MyKad.
Ujarnya, jumlah itu terus meningkat selepas pelaksanaan BUDI95 pada September tahun lalu, dengan merekodkan 4,269 pemohon.
“Jika dibuat perbandingan peratusan bagi inisiatif SARA, terdapat peningkatan sebanyak 16 peratus apabila pada tahun 2024 hanya 1,576 permohonan diterima dalam tempoh yang sama.
“Manakala sejak pelaksanaan BUDI95 pada September lalu, jumlah permohonan meningkat daripada 1,776 pemohon kepada 4,269 pemohon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Pengarah JPN Melaka Sempena Tahun Baharu 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh pada Selasa.
Beliau berkata, penukaran MyKad dikenakan bayaran tetap sebanyak RM10.
Ujarnya, individu yang menghadapi masalah MyKad disarankan supaya hadir ke mana-mana pejabat JPN, termasuk Pejabat Pendaftaran Kad Pengenalan (ICRO), Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau cawangan berhampiran bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa berurusan atau memohon bantuan kerajaan.