KUALA LUMPUR - Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali membuat 18 tuntutan dalam saman fitnah, terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah pada Julai 2024 hingga Disember tahun lalu.
Sabri selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, dengan menamakan Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin selaku defendan.
Peguam, Muhamad Firdaus Jumaludin yang mewakili plaintif berkata, antara tuntutan tersebut ialah permohonan ganti rugi terhadap Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson berkenaan, di atas kerosakan reputasi anak guamnya ekoran tohmahan serta cemuhan yang dilemparkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini jumlah ganti rugi yang diminta itu, tidak dapat dinyatakan.
“Selain itu, kami akan membuat permohonan injunksi supaya semua kenyataan defendan dikeluarkan.
“Anak guam mahu meneruskan saman ini kerana ahli politik itu, tidak memberi maklum balas terhadap surat tuntutan supaya menurunkan pernyataan fitnah itu,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.
Sedangkan beliau berkata, pernyataan tersebut tidak benar, mengelirukan dan berbaur fitnah.
Secara keseluruhannya peguam ini berkata, perkara tersebut menyebabkan kerosakan reputasi serius yang tidak boleh dipulihkan melalui penjelasan awam semata-mata, terutama fitnah tersebut ditambah dengan tohmahan liar di ruangan komen.
Menurutnya, kenyataan tidak benar atau terbukti, boleh memesongkan persepsi orang ramai terhadap sumbangannya sebagai seorang pegawai.