Ladang babi moden bukan jaminan bebas pencemaran - MP Hulu Selangor

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 12 Januari lalu mengenai ladang babi akan dipindahkan ke Bukit Tagar secepat mungkin. Gambar kecil: Mohd Hasnizan

HULU SELANGOR - Keupayaan teknologi moden yang kononnya mampu mengawal pencemaran ladang penternakan babi dipersoalkan apabila kegagalan sistem ladang moden di luar negara membuktikan risiko ketirisan dan pencemaran masih berlaku.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, kebimbangan itu menjadi antara faktor utama penduduk membantah cadangan pemindahan ladang penternakan babi dari Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar, di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun pihak tertentu mendakwa teknologi terkini mampu mengawal pencemaran, realitinya ia bukan sesuatu yang mudah dan tidak menjamin keselamatan alam sekitar dalam jangka panjang.

"Di luar negara pun, ladang moden yang menggunakan teknologi canggih masih gagal dan akhirnya berlaku ketirisan serta pencemaran.

Iklan

"Ini yang kami risaukan, mungkin bukan sekarang tetapi pada masa hadapan," katanya menerusi satu video di Facebook.

Mohd Hasnizan berkata, lokasi itu sememangnya mendapat bantahan dari empat gugusan Felda iaitu Sungai Tengi Selatan, Sungai Tengi, Soeharto dan Gedangsa selain penduduk Bestari Jaya termasuk pelajar Universiti Selangor (Unisel) serta penduduk sekitar daerah berkenaan.

Iklan

Beliau menegaskan, bantahan itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya suara rakyat yang bimbang terhadap kesan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.

"Saya bukan sahaja Ahli Parlimen, tetapi penduduk Hulu Selangor yang sudah menetap di Bukit Beruntung lebih 20 tahun," jelas beliau.

Menurutnya, bantahan terhadap cadangan itu turut disuarakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam, sekali gus membuktikan penolakan bukan hanya terhad kepada Hulu Selangor.

"Bayangkan, bukan sahaja Hulu Selangor, malah seluruh Selangor dan seluruh Malaysia membantah perkara ini.

"Saya mohon kerajaan Selangor mendengar rintihan rakyat dan memastikan cadangan ini tidak diteruskan," tambah beliau.

Sinar Harian pada 12 Januari lalu melaporkan, perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar akan disegerakan sebelum hujung tahun ini.

Bagaimanapun, penduduk empat Felda di daerah ini memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.