SABAK BERNAM – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,500 menanti pemenang Visit Malaysia Surfcasting Challenge@Pantai Sungai Lang yang akan berlangsung Ahad ini.
Pertandingan anjuran Wakjali Event Management itu menawarkan hadiah utama RM20,000 kepada juara, diikuti RM3,000 bagi naib juara dan RM1,000 untuk tempat ketiga. Pemenang tempat keempat hingga ke-80 pula bakal menerima hadiah wang tunai antara RM200 hingga RM600 setiap seorang.
Jurucakap pertandingan, Md Zali Kasran berkata, penganjuran kali ini merupakan yang pertama selepas lebih tujuh tahun tiada sebarang pertandingan memancing dianjurkan di Pantai Sungai Lang.
“Suatu ketika dahulu, pantai ini cukup popular dalam kalangan pemancing kerana kaya dengan pelbagai spesies ikan bersaiz mega, khususnya pari.
“Bagaimanapun, masalah hakisan pantai sebelum ini menimbulkan kebimbangan dari aspek keselamatan sehingga tiada penganjur berani mengadakan acara di sini,” katanya.
Menurut beliau, penambahbaikan dan kerja-kerja pembaikan oleh pihak kerajaan, khususnya di kawasan benteng pantai, telah membolehkan Pantai Sungai Lang digunakan semula dengan lebih selamat.
“Sepanjang tempoh ketiadaan pertandingan, hanya pemancing persendirian, terutamanya penduduk kampung, yang memancing di kawasan ini.
“Pelbagai spesies berjaya dinaikkan seperti pari, belukang, semilang dan gelama. Namun, rekod tangkapan pari seberat 25 kilogram pada 2014 masih kekal hingga kini,” katanya.
Md Zali berkata, pertandingan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu akan bermula seawal jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, mengambil kira carta pasang surut laut.
Katanya, kaunter pendaftaran akan dibuka selama 24 jam bermula jam 4 petang Sabtu ini dengan yuran penyertaan RM100 bagi satu joran, dan peserta dibenarkan memenangi lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan.