SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah menetapkan tempoh akhir pengosongan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya sehingga 31 Mac depan susulan kes pencerobohan yang tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tanah berkenaan adalah Tanah Perkuburan Islam yang telah diwartakan di bawah JAIS mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan bukan tanah wakaf di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seperti didakwa.
Beliau menegaskan, tindakan terhadap pencerobohan tanah tersebut telah pun diambil melalui gerak kerja pemutihan bersama pihak pentadbir tanah daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kerajaan negeri telah menetapkan tarikh akhir pengosongan tapak sehingga 31 Mac dan kegagalan mematuhi akan menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bersama JAIS serta agensi penguat kuasa lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, JAIS, MAIS dan kerajaan negeri akan terus melaksanakan segala langkah perlu bagi memastikan pencerobohan ke atas tanah warta dipulihkan dengan segera serta meningkatkan usaha menghalang sebarang pencerobohan di masa depan.
Orang awam yang mengesan sebarang pencerobohan tanah warta JAIS atau tanah wakaf MAIS digesa menyalurkan maklumat kepada JAIS, MAIS, PDT atau PBT bagi tindakan sewajarnya.
Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook telah memuat naik hantaran yang mendakwa tanah wakaf di bawah pengurusan MAIS telah diceroboh rumah ibadat.