Proses pendidikan wajar bermula awal - Exco Perak

Iklan
Khairudin (empat dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada penerima Rumah Perakku Prihatin Yayasan Perak (RPPYP), Zaid Abu Hassan Shaari yang diwakili isterinya, Syarifah Ruwaida Syed Ise, 27, di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri, Parit pada Selasa.

PARIT – Kerajaan Perak menyambut baik pengumuman berhubung perubahan kemasukan ke sekolah yang menetapkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun dan Tahun Satu pada usia enam tahun mulai 2027.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diyakini telah menjalankan kajian menyeluruh sebelum pengumuman tersebut dibuat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, langkah menurunkan usia kemasukan ke Tahun Satu daripada tujuh kepada enam tahun bukan sesuatu yang janggal memandangkan kebanyakan kanak-kanak pada usia itu sudah pun mengikuti pendidikan prasekolah.

“Sudah pastilah KPM telah membuat kajian sebelum pengumuman dibuat. Kebanyakan pelajar berusia enam tahun memang sudah berada di prasekolah, malah ada yang bermula seawal usia lima tahun,” katanya ketika ditemui sempena sesi penyerahan Rumah Perakku Prihatin Yayasan Perak (RPPYP) di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri, di sini, pada Selasa.

Iklan

Khairudin

Khairudin berkata, dari segi kesiapsiagaan murid untuk mengikuti pembelajaran secara formal, perubahan itu tidak dijangka menimbulkan masalah kerana proses pendidikan sememangnya wajar dimulakan lebih awal.

Iklan

“Dalam pendidikan, kita sering sebut ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Proses pendidikan dari usia awal adalah baik dan membantu membentuk asas pembelajaran yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, pembukaan prasekolah kepada kanak-kanak berusia lima tahun juga bertujuan memberi peluang kepada institusi prasekolah yang sebelum ini tidak memenuhi jumlah minimum murid.

Katanya, perubahan kemasukan itu dapat membantu perancangan kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam merancang proses pembelajaran dengan lebih baik.

“Tambahan pula, kurikulum baharu akan digubal bermula 2027. Sudah tentu elemen usia dan tahap kesediaan pelajar dalam menerima input pembelajaran telah diambil kira,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, mengumumkan bahawa pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun dan Tahun Satu pada usia enam tahun, namun pelaksanaannya tidak diwajibkan bagi memberi ruang kepada ibu bapa serta warga pendidik membuat persediaan.