Video tular cubaan pecah rumah, polis tingkat rondaan di Klebang Jaya

Iklan
Rakaman memaparkan dua individu disyaki berlegar-legar di kawasan perumahan dan dipercayai terlibat dalam cubaan memecah masuk sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Ipoh.

IPOH - Polis telah meningkatkan pemantauan keselamatan susulan penularan satu video di media sosial yang memaparkan cubaan memecah masuk sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya memandang serius rakaman video tular tersebut walaupun setakat ini belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hasil semakan mendapati, video tersebut dimuat naik oleh satu akaun Threads pada 16 Januari lalu kira-kira jam 4 petang dan telah menarik perhatian ramai pengguna media sosial.

"Rakaman itu memaparkan dua individu disyaki berlegar-legar di kawasan perumahan dan dipercayai terlibat dalam cubaan memecah masuk sebuah rumah di Taman Klebang Jaya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sehubungan itu, beliau berkata, polis telah menggerakkan beberapa tindakan segera termasuk usaha mengesan individu yang memuat naik video berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi membantu siasatan.

Katanya, rondaan pencegahan jenayah di kawasan terlibat turut dipertingkatkan menerusi Op Kesan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat terus terjamin.

Iklan

"Kita minta oang ramai supaya sentiasa berwaspada, meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

"Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini terus terpelihara,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-245 1500 atau 999.