IPOH - Penduduk sekitar Tanjung Rambutan diminta tidak panik dengan penularan sebuah video berdurasi 20 saat di media sosial yang mendakwa kehadiran empat ekor harimau membaham seekor lembu di kawasan Ulu Kinta.
Ketua Kampung Ulu Kuang, Hamdan Ishak berkata, dakwaan yang tersebar sejak dua hari lalu itu adalah tidak benar dan disahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebagai rakaman lama yang disunting semula.
"Saya nafikan dakwaan video terbaru yang mengatakan ada empat ekor harimau makan lembu di kawasan ini. Ada yang kata di Changkat Kinding, ada pula yang kata di Ulu Kuang.
"Saya sendiri telah bertemu pegawai Perhilitan dan mereka mengesahkan video itu adalah palsu. Rakaman tersebut sudah lama, bertahun-tahun dahulu dan kejadian sebenar berlaku di luar kawasan Tanjung Rambutan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Hamdan berkata, kekeliruan timbul apabila tarikh kejadian dalam video itu memaparkan 16 Januari 2026, seolah-olah kejadian baharu.
"Bagi orang luar mungkin anggap ini gurauan, tetapi komuniti di sini ada dusun dan kebun. Ramai penduduk mencari rezeki di kawasan hutan.
"Isu kehadiran harimau seperti ini sudah tentu menakutkan dan membangkitkan kebimbangan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui kawasan sekitar Tanjung Rambutan termasuk Ulu Kuang, Chemor dan Changkat Kinding merupakan kawasan pergerakan harimau, namun pemantauan berterusan sentiasa dijalankan oleh Perhilitan.
Katanya, anggota Perhilitan turut menggunakan dron pada waktu malam bagi mengesan kehadiran hidupan liar dan setakat ini tiada sebarang gangguan atau kemunculan harimau direkodkan hampir dua bulan kebelakangan ini.
"Saya minta pihak luar agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih, tindakan sebegini hanya akan menimbulkan ketakutan dan ancaman kepada penduduk kampung," katanya.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 20 saat tular di media sosial memaparkan empat ekor harimau, dipercayai seekor harimau betina bersama tiga anaknya, sedang membaham seekor lembu.
Maklumat dipaparkan bersama video tersebut mendakwa ia dirakam melalui kamera perangkap Perhilitan di kawasan Ulu Kinta berhampiran Tanjung Rambutan, Ipoh pada 16 Januari 2026.