IPOH – Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berjaya dalam tuntutan saman fitnah secara lisan terhadap pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Gopeng, Ahmad Badrin Abdul Khalid.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Rohani Ismail pada Selasa selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan Mohammad Nizar selaku plaintif berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa diucapkan defendan pada 1 Mei 2021.
Saman tersebut difailkan berikutan kata-kata fitnah yang didakwa diungkapkan Ahmad Badrin, yang merupakan Ketua Amanah Kawasan Gopeng ketika itu, semasa sesi Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara Kawasan Gopeng sehingga menjejaskan reputasi Mohammad Nizar selaku Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Rapat.
Mahkamah memutuskan defendan bertanggungan membayar ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada plaintif serta kos RM15,000, tertakluk kepada alokatur.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan defendan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah iaitu 20 Januari 2026.
Permohonan maaf tersebut perlu diterbitkan di sebuah akhbar perdana dengan kandungan permohonan maaf ditetapkan oleh plaintif.
Mahkamah juga membenarkan perintah injunksi terhadap defendan atau ejen atau pembantunya bagi menghalang sebarang perbuatan fitnah sama atau seumpamanya dilakukan terhadap plaintif pada masa hadapan.
Peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, sepanjang empat hari perbicaraan yang berlangsung pada September dan Oktober tahun lalu itu, seramai 11 saksi dipanggil, dengan lima merupakan saksi plaintif manakala selebihnya saksi defendan.