Sabri Zali teruskan saman Chegubard

Iklan
Sabri (kiri) dan Badrul Hisham.

KUALA LUMPUR – Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali akan meneruskan tindakan saman terhadap aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan jemputan kepada pihak media, sidang akhbar berhubung permohonan itu akan dibuat pada jam 11.30 pagi Rabu.

Iklan
Iklan

Ia berhubung surat tuntutan (LOD) yang gagal menyelesaikan kemelut dihadapi Sabri dan Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin.

Pada 2 Januari lalu, Sabri menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Iklan

Beliau juga menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak benar, mengelirukan serta berunsur fitnah.

Sementara itu, peguamnya, Muhammad Firdaus Jumaluddin berkata, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah turut membabitkan Puspahanas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhannya.

Iklan

Beliau yang bertindak sebagai jurucakap diberi kuasa berkata, sehingga kini Sabri tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan atau didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa mahupun salah laku.

Beliau berkata, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks, dipilih secara selektif atau terbuka kepada pengubahsuaian dan manipulasi tidak boleh dianggap sebagai bukti salah laku atau sokongan terhadap sebarang kesalahan.

Dalam pada itu, Sabri mengekalkan sepenuhnya semua hak undang-undang beliau, termasuk hak untuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah.

Menurut beliau lagi, penyebaran tuduhan yang belum disahkan berpotensi mencemarkan reputasi individu, menjejaskan keyakinan awam serta membawa kepada ketidakadilan serius.

Sehubungan itu katanya, semua pihak diminta supaya memberi ruang kepada proses undang-undang yang sewajarnya dan menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas atau berniat jahat.

Sebelum ini, pada 6 Januari, Badrul Hisham yang juga Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson menggesa supaya Sabri direhatkan sementara daripada tugas bagi memberi laluan kepada siasatan berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengannya.

Beliau berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan sebarang siasatan dapat dijalankan secara bebas tanpa sebarang persepsi, pengaruh atau gangguan.