KUALA LUMPUR – Lokasi panas atau hotspot kes kecurian kabel tren yang kerap berlaku sehingga menyebabkan gangguan teknikal telah dikenal pasti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu dibincangkan dalam satu mesyuarat pada Disember lalu bersama Kementerian Dalam Negeri.
“Bukit Aman memandang serius isu ini, terutama di beberapa negeri yang dikenal pasti sebagai lokasi panas berlakunya kes kecurian kabel yang kian berleluasa.
“Sudah tentu pihak polis akan mengambil tindakan lebih tegas dan proaktif. Isu ini tidak membabitkan perbincangan di Parlimen, sebaliknya undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perkhidmatan Pengangkutan Awam Istimewa Sempena Perayaan 2026 di KL Sentral, pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mengenai kerugian yang dialami Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencecah RM20.6 juta sejak 2023, dengan peningkatan kes mula ketara sejak 2024.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, denda sekitar RM1,000 yang dikenakan terhadap pesalah curi kabel disifatkan tidak setimpal serta gagal memberi kesan pencegahan berterusan, apabila individu sama ditahan semula atas kesalahan tersebut.
Lebih mengejutkan, beliau turut mendedahkan bahawa sindiket mencuri kabel perkhidmatan tren kini semakin berani dan berbahaya kerana dikesan membawa senjata seperti pistol dan parang ketika melakukan kegiatan jenayah.
Tambahnya lagi, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah dengan memanjat jejambat dan bermalam di lokasi kejadian sebelum bertindak memotong kabel hidup bervoltan tinggi untuk dijual kepada premis barangan lusuh.