Lembaga Keamanan Gaza: Malaysia pilih berhati-hati nyata sokongan

Iklan
Anwar

KUALA LUMPUR - Malaysia memilih untuk berhati-hati sebelum menyatakan sebarang sokongan terhadap penubuhan Lembaga Keamanan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang bertujuan menamatkan perang di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pada masa ini belum memperoleh maklumat yang jelas mengenai penubuhan lembaga berkenaan.

Iklan
Iklan

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini akan meneliti perkara tersebut, dan Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) telah diminta untuk mendapatkan senarai penuh. Saya juga sedang menghubungi beberapa pemimpin dunia Arab, Turkiye dan lain-lain bagi mendapatkan pandangan mereka.

"Tetapi pada pendapat saya, ini bukanlah penyelesaian yang munasabah dan kita fikir adalah adil untuk menunggu sehingga maklumat lengkap diperoleh. Oleh itu, Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati sebelum memberikan sokongan terhadap usul ini," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA–Muar) berhubung pendirian Malaysia terhadap penyertaan dalam Lembaga Keamanan yang diumumkan oleh Trump.

Pada 16 Januari lalu, Trump mengumumkan penubuhan sebuah Lembaga Keamanan untuk Gaza sebagai elemen utama fasa kedua rancangan bagi menamatkan perang di wilayah Palestin itu.

Iklan

Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia secara dasarnya menyokong sebarang usaha untuk menjamin kedamaian di Palestin.

Namun katanya, usaha tersebut perlu disertai dengan tindakan segera untuk menghentikan serangan yang masih berterusan di Gaza ketika ini.

"Dalam perbincangan saya dengan Presiden Erdogan dua minggu lalu, isu ini telah dibangkitkan dan beberapa langkah telah diusulkan, termasuk kepada Presiden Abdul Fatah Al-Sisi, Mesir.

"Dan kini kita telah menghantar utusan ke Qatar untuk mendapatkan maklumat dari segi risikan mengenai tindakan yang wajar diambil secara bersama. Namun, yang nyata, perdamaian itu walaupun satu langkah baik untuk menekan Israel agar menghentikan serangan... ia masih belum berhasil," katanya.

Beliau menambah, persoalan lain berkaitan lembaga berkenaan ialah hanya cadangan nama jawatankuasa yang dikemukakan, namun tiada perincian lanjut mengenai matlamat sebenar lembaga tersebut.

Justeru, beliau berpandangan bahawa perkara utama yang perlu dilakukan ialah menghentikan serangan dan seterusnya memberi laluan kepada penambahan bantuan makanan serta kemudahan asas untuk rakyat Gaza.

"Ada usul, misalnya daripada Presiden Turkiye, untuk menyediakan pembangunan perumahan berskala besar. Namun, usaha itu dihalang sehingga ke hari ini oleh Israel.

"Maka, walaupun ada cadangan perdamaian, keperluan asas seperti makan minum masih tidak terjamin," katanya.