PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Mulai tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala Darjah Satu pula bermula usia enam tahun.
Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini pada Selasa.
Anwar berkata, bagaimanapun perubahan itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa.
"Maknanya tahun 2027 kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang masih merasakan anak-anak belum bersedia.
"Kita tetapkan masih boleh anak-anak yang berusia tujuh tahun untuk masuk Darjah Satu tetapi sangat digalakkan ibu bapa bersedia dari sekarang supaya anak-anak berumur lima tahun sudah masuk prasekolah dan Darjah Satu umur enam tahun," ujarnya pada Selasa.
Tambah Anwar, keputusan itu dibuat bagi mengikut peredaran masa dan tuntutan zaman.
Jelasnya, anak-anak sekarang seawal usia lima tahun sudah mampu membezakan sesuatu perkara dan lebih matang berbanding generasi terdahulu.
"Dulu umur tujuh tahun baru layak masuk Darjah Satu.
"Dalam masa sama, kita akan beri tumpuan secara menyeluruh kepada sistem prasekolah. Kita minta Kementerian Pendidikan (KPM) ambil alih dan selaraskan," ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala persiapan mengenai perkara tersebut akan disegerakan.
"Sebab itu, saya arahkan mulai sekarang hal yang diumumkan itu perlu ada tindakan cepat oleh kementerian terlibat untuk pastikan segala kemudahan asas ditambah," katanya.