Mahkamah Tinggi Khas Rasuah akan ditubuhkan di Kuala Lumpur

Iklan
Pada Isnin, Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan dengan menitahkan supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran, dengan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.

PUTRAJAYA – Susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Badan Kehakiman Malaysia akan menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.

Berdasarkan kenyataan media daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Badan Kehakiman mengambil maklum titah Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen Malaysia pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Agong menitahkan, ada keperluan supaya hakim berpengalaman mendengar kes rasuah serta mewujudkan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

“Setakat ini sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan di seluruh negara bagi mendengar kes-kes itu, dengan matlamat untuk menyelesaikan kes dalam tempoh satu tahun dari tarikh pendaftaran.

Iklan

“Bagi menjunjung titah berkenaan, Hakim Besar Malaya (Datuk Hashim Hamzah) telah berunding dengan Ketua Hakim Negara (Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh) dan bersetuju supaya Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas untuk mengendalikan perbicaraan serta mendengar rayuan daripada mahkamah rendah,” katanya.

Bagi permulaan, penubuhan Mahkamah Tinggi Khas itu akan dilaksanakan di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Iklan

Pada Isnin, Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan dengan menitahkan supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran, dengan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Seri Paduka Baginda bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu hanya kepada penerima rasuah, sebaliknya pemberi rasuah, ejen atau mana-mana pihak yang bersubahat turut perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.

Baginda amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi.