RADIO sedang berubah. Berubah secara senyap, perlahan, konsisten, dan hampir tidak disedari khalayak. Di bukit dan gunung terpilih, pemancar radio masih berfungsi. Frekuensi masih penuh dan suara penyampai masih kedengaran setiap hari.
Tetapi di tangan pendengar, dunia sudah beralih. Telefon pintar menjadi fokus perhatian. Kandungan boleh dipilih, dihentikan, diulang, atau ditinggalkan hanya dengan sentuhan skrin.
Dalam fasa peralihan ini, cabaran radio hari ini bukan lagi soal boleh didengar atau tidak tetapi soal masih dipilih atau pun tidak.
Perubahan ini didorong oleh peralihan tabiat penggunaan media masyarakat. Khalayak hari ini hidup dalam persekitaran yang menawarkan akses hampir tanpa had kepada kandungan audio dan visual melalui peranti mudah alih.
Justeru, cabaran utama penyiaran audio masa ini bukan lagi perihal memastikan isyarat sampai kepada pendengar, tetapi memastikan tempoh masa mendengar kekal stabil dalam landskap media yang sangat dinamik.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2024 memberikan gambaran jelas tentang landskap baharu ini.
Akses isi rumah kepada telefon bimbit, televisyen dan radio berada pada 99.5%. Akses internet isi rumah pula mencapai 96.8%, manakala penggunaan internet individu merekodkan 98.0%.
Pada masa yang sama, 94.3% individu Malaysia aktif memuat turun atau menstrim kandungan hiburan digital. Unjuran ini membawa tafsiran realiti bahawa perhatian manusia kini berlegar dalam ekosistem digital yang tidak lagi terikat kepada jadual siaran tradisional.
Implikasi pertama ialah perubahan pada struktur masa dan tempoh mendengar. Radio tradisional dibina atas logik siaran linear mengikut jadual tetap.
Sebaliknya, budaya digital beroperasi atas logik audio permintaan. Statistik 94.3% aktiviti penstriman hiburan menunjukkan bahawa audiens Malaysia semakin selesa memilih kandungan mengikut masa sendiri.
Situasi ini memberi tekanan langsung kepada stesen radio untuk menyediakan kandungan yang boleh diakses semula termasuk podcast, klip dan arkib digital.
Tanpa transformasi ini, radio berisiko kehilangan pendengar, khususnya dalam kelompok muda bandar yang menjadikan telefon pintar sebagai pusat media.
Walaupun demikian, radio masih mengekalkan skala pasaran yang besar. Pengukuran pendengar oleh GfK RAM Wave 2 2024 menunjukkan rangkaian radio arus perdana Malaysia menarik sekitar 14.9 juta pendengar mingguan, merangkumi 72% pendengar radio di Semenanjung.
Ini membuktikan radio masih merupakan medium yang signifikan. Namun skala semata-mata tidak menjamin kelangsungan. Skala tanpa adaptasi hanya mengekalkan kos operasi, bukan kelebihan strategik.
Justeru, radio kini mengurus dua pendekatan serentak: infrastruktur siaran FM yang stabil dan ekosistem edaran kandungan digital yang dinamik.
Implikasi kedua melibatkan perubahan model pendapatan. Industri hiburan dan media Malaysia direkodkan bernilai RM50.3 bilion pada 2023, dengan pertumbuhan dipacu oleh transformasi model pengiklanan berasaskan data dan penyasaran model kandungan digital.
Pengiklan kini menilai keberkesanan media melalui metrik keterlibatan, tempoh pendedahan dan profil audiens.
Dalam konteks ini, radio tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada penjualan slot siaran seperti sedia ada. Radio perlu menawarkan pakej edaran merentas platform, integrasi kandungan berjenama, pembinaan kandungan berimpak tinggi dan berpotensi viral serta yang pastinya data pendengar yang boleh diukur prestasinya.
Kandungan kini tidak lagi boleh bersandar sepenuhnya kepada kemahiran kreatif. Ia memerlukan analitik pendengar, pemahaman pola digital, dan reka bentuk pengalaman audio yang selari dengan tabiat pengguna.
Ini menuntut pelaburan baharu. Ia bukan sahaja pada teknologi, tetapi pada kemahiran tenaga kerja dan struktur organisasi.
Implikasi ketiga ialah peningkatan kompleksiti operasi editorial. Radio Malaysia bergerak dalam masyarakat berbilang kaum, bahasa dan sensitiviti. Sebagai medium berlesen, radio memikul tanggungjawab pematuhan peraturan serta pengurusan risiko kandungan.
Dalam era maklumat tular, kesilapan penyampaian boleh mencetus implikasi reputasi dan kawal selia. Maka latihan editorial, protokol semakan kandungan, dan pengurusan krisis komunikasi menjadi komponen teras dalam operasi radio kontemporari.
Seterusnya, automasi mula memasuki konti. Kecerdasan buatan kini mampu menjana suara sintetik serta menyusun playlist. Ini termasuk memudahkan proses membuat berita dan kandungan kreatif. Ini membuka peluang penilaian semula kos operasi.
Namun realiti yang sukar dihadam adalah semua pendekatan itu mengubah peranan manusia dalam radio. Penyampai kini bergerak daripada sekadar pengisi ruang antara lagu.
Penyampai juga bertindak sebagai moderator perbualan dan pengendali interaksi audiens merentas platform. Semua ini memerlukan kepakaran baharu. Penyampai perlu cukup mahir dengan kemahiran digital dan keupayaan memahami khalayak komuniti yang pelbagai dan merentas generasi
Keseluruhan realiti ini membawa radio Malaysia kepada satu keperluan tunggal: transformasi struktur. Ini merujuk kepada transformasi kandungan daripada linear kepada atas permintaan.
Seterusnya transformasi pendapatan daripada slot siaran kepada data perhatian audiens. Terakhir transformasi operasi daripada sistem analog kepada ekosistem digital bersepadu.
Tanpa transformasi yang tersusun, radio yang berpotensi ini bakal menjadi liabiliti pada masa hadapan. Mungkin juga akan hilang siarannya.
Dengan transformasi yang terancang dan konsisten, radio masih boleh mengekalkan kedudukan sebagai pemain utama dalam ekosistem audio nasional, walaupun bentuk penyampaiannya berubah.
Nilailah apa sahaja, radio di Malaysia masih mempunyai jangkauan besar, infrastruktur kukuh dan kedudukan pasaran yang relevan. Namun data menunjukkan tabiat pendengar dan struktur pasaran iklan telah berubah secara total.
Masa depan radio kini bergantung kepada keupayaan organisasi radio menyesuaikan kandungan, mengimbangi hambatan teknologi dan perubahan model perniagaan dengan realiti digital semasa. Transformasi bukan lagi pilihan tambahan atau syarat asas untuk survival. Ia kini syarat kelangsungan industri.
(Dedikasi khas atas pemergian Allahyarham Azlan Idris, Ketua Radio BERNAMA)
*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif