CCC bantah larangan media sosial bawah 16 tahun, sifatkan tidak realistik

Iklan
CCC menggesa pendekatan alternatif seperti memperkuat pendidikan literasi media di sekolah dan meningkatkan kesedaran ibu bapa. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Cadangan kerajaan untuk mengenakan larangan menyeluruh penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bermula 2026 disifatkan tidak realistik, sukar dikuatkuasakan dan berpotensi mendatangkan lebih banyak mudarat

Wakil Pusat Pilihan Pengguna (Consumer Choice Center, CCC) Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, pendekatan larangan tidak menyelesaikan punca sebenar isu keselamatan digital dalam kalangan remaja, sebaliknya hanya mendorong mereka ke ruang dalam talian yang lebih berisiko dan tidak terkawal.

Iklan
Iklan

“Melarang media sosial tidak menyelesaikan masalah asas. Ia hanya menyembunyikannya. Isu sebenar ialah pendidikan, tingkah laku dan tanggungjawab digital, bukan semata-mata akses,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut CCC, larangan berdasarkan umur berisiko menyebabkan remaja menggunakan platform tidak selamat, akaun anonimous serta perisian pengelakan yang meletakkan mereka di luar pengawasan ibu bapa dan perlindungan undang-undang.

Iklan

CCC turut memetik kajian akademik yang mendapati larangan menyeluruh tidak terbukti berkesan dalam meningkatkan kesihatan mental atau keselamatan dalam talian.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal JMIR Mental Health pada 2024 menyimpulkan bahawa bukti sedia ada tidak mencukupi untuk menyokong larangan media sosial sebagai penyelesaian terhadap isu kesejahteraan belia.

Iklan

Tarmizi berkata, kajian tersebut mendapati kesejahteraan remaja lebih berkait rapat dengan kemahiran pengawalan emosi dan tingkah laku digital berbanding sekatan akses semata-mata.

"Penyelidikan oleh Profesor Madya Jennifer Alford dari Griffith University dan Australian Academy of the Humanities pula memberi amaran bahawa dasar larangan umur merupakan alat yang tumpul dan boleh melambatkan kematangan digital serta mengekang akses remaja kepada rangkaian sokongan sosial," katanya.

Tarmizi berkata, melindungi remaja daripada media sosial sehingga umur tertentu tidak menyediakan mereka untuk realiti kehidupan dewasa yang semakin bergantung kepada komunikasi digital.

“Media sosial hari ini ialah sebahagian daripada infrastruktur komunikasi. Golongan muda belajar menilai maklumat, membina interaksi sosial dan memahami sempadan melalui pendedahan berperingkat, bukan pengasingan total,” katanya.

Sehubungan itu, CCC menggesa kerajaan mempertimbangkan pendekatan alternatif yang menumpukan kepada pendidikan literasi digital, penglibatan ibu bapa dan pembangunan daya tahan emosi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Antara cadangan dikemukakan termasuk memperkukuh pendidikan literasi media di sekolah, meningkatkan kesedaran ibu bapa serta memelihara pilihan keluarga berdasarkan tahap kematangan individu.

“Dasar yang baik membina keupayaan, bukan tembok. Matlamat kita seharusnya melahirkan generasi yang yakin dan berdaya tahan secara digital, bukan generasi yang tidak bersedia menghadapi dunia dalam talian,” katanya.

Alternatif yang dicadangkan okeh CCC:

1. Pendidikan digital dan literasi media yang lebih baik di sekolah

2. Penglibatan dan kesedaran ibu bapa yang lebih kukuh

3. Sokongan terhadap daya tahan emosi dan pemikiran kritikal dalam kalangan golongan muda

4. Pemeliharaan pilihan individu berdasarkan nilai keluarga dan tahap kematangan