TOKYO - Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan polis selepas didakwa membunuh bosnya di Daerah Ota kerana tidak berpuas hati dengan bonus yang diterimanya.
Mangsa, Akihiro Kawashima, 44, pengarah sebuah syarikat peralatan audio, diserang di apartmennya di Omorikita pada 7 Januari lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Menurut laporan Tokyo Reporter yang memetik agensi berita Jepun Jiji Press pada 12 Januari 2026, suspek Masahiro Yamanaka, pengurus jualan syarikat itu, memberitahu polis bahawa 'bonus saya dikurangkan tanpa sebarang penjelasan'.
Bonus yang sebelum ini bersamaan 1.5 bulan gaji telah dipotong kepada 1 bulan gaji, dan satu penyata bonus Disember tahun lalu turut ditemui di rumah suspek.
Polis mendakwa Yamanaka menikam Kawashima lebih daripada 10 kali di leher, perut dan beberapa bahagian badan lain.
Semasa soal siasat, suspek mengaku menikam mangsa tetapi mendakwa tidak berniat untuk membunuh.
Menurut pihak polis, Yamanaka dan mangsa merupakan rakan sekelas semasa sekolah menengah, dan suspek menyertai syarikat itu kira-kira empat tahun lalu atas jemputan Kawashima untuk membantu meningkatkan prestasi syarikat.
Suspek dilaporkan berkata:“Jika mereka tidak memahami apa yang saya maksudkan, saya rasa saya perlu mengubah cara fikir mereka, walaupun bermakna menyakitkan mereka.”
Polis percaya Yamanaka menunggu Kawashima di kawasan apartmen sebelum menyerang.
Selepas kejadian, dia dilaporkan mengunjungi beberapa bar bersama seorang rakan sehingga awal pagi keesokan harinya.
Kawashima mengalami luka tikaman di lebih 10 bahagian badan, termasuk leher dan perut, dan polis percaya terdapat niat jelas untuk membunuh berdasarkan jenis kecederaan.
Semua bukti termasuk pisau yang digunakan dan pakaian bernoda darah sedang diperiksa secara forensik.
Kes ini mencetuskan keprihatinan tentang tekanan pekerjaan dan perselisihan di tempat kerja di Jepun, selain mengingatkan masyarakat bahawa konflik profesional kadangkala boleh membawa kepada tragedi. - Agensi