SEBUAH video tular mendakwa bumi akan kehilangan graviti selama tujuh saat pada 12 Ogos depan.
Klip itu turut mendedahkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) sedang membuat persiapan secara rahsia di bawah Projek Anchor yang menelan kos berbilion dolar.
Menurut teori konspirasi itu, gelombang dipancarkan dari dua lubang hitam menyebabkan keadaan tersebut dan agensi angkasa berpusat di Amerika Syarikat (AS) berkenaan sudah pun mengetahui tentangnya lebih 12 tahun serta menyediakan bunker khas buat pemimpin dunia dan individu penting.
Ia turut menganggarkan kira-kira 40 hingga 60 juta kematian boleh berlaku dalam tempoh singkat itu.
NASA bagaimanapun menafikan dakwaan tidak berasas itu dan menjelaskan graviti bumi bergantung kepada jisimnya dan tidak boleh hilang begitu sahaja.
Pakar juga mengesahkan satu-satunya peristiwa astronomi pada tarikh tersebut ialah gerhana matahari penuh yang boleh dilihat dari sebahagian kawasan Eropah dan Artik.
Penyebaran maklumat palsu itu turut mengundang pelbagai reaksi warganet.
Ada yang memberi penjelasan untuk merungkai kekeliruan pengguna media sosial lain bahawa graviti tidak bergantung kepada kejadian kosmik seperti pertembungan lubang hitam. - Agensi