Isu kuil haram bukan soal agama, tapi pelanggaran undang-undang - Mohamed Sukri

Iklan
Mohamed Sukri

SHAH ALAM - Isu pembinaan kuil yang didakwa dibina secara tidak sah di atas tanah milik pihak lain tidak wajar dilihat sebagai isu kebencian agama atau perkauman, sebaliknya membabitkan soal pelanggaran undang-undang serta kelemahan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, kegagalan menangani perkara itu secara berprinsip dan konsisten boleh mencabar kedaulatan undang-undang, selain merosakkan prinsip keadilan serta melemahkan kewibawaan pentadbiran negara.

Iklan
Iklan

"Isu ini bukan soal agama atau kaum, tetapi ia berkait rapat dengan pelanggaran undang-undang serta kelemahan penguatkuasaan.

"Jika dibiarkan berlarutan, ia memberi mesej yang salah kepada masyarakat bahawa undang-undang boleh dikuatkuasakan secara terpilih," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mohamed Sukri berkata, setiap binaan yang didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa dan tanpa kebenaran pemilik tanah adalah tidak sah di sisi undang-undang tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang.

"Undang-undang tidak boleh dilaksanakan secara bersyarat lebih-lebih lagi apabila melibatkan rumah ibadat.

Iklan

"Keadilan yang terpilih hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, pembinaan masjid dan surau di negara ini tertakluk kepada peraturan ketat termasuk keperluan pemilikan tanah yang sah, pengurusan dana secara telus serta pemantauan oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

"Tidak pernah dibenarkan masjid atau surau dibina di atas tanah milik pihak lain walaupun atas alasan keperluan atau sentimen," tambah beliau.

Sehubungan itu, Mohamed Sukri mencadangkan supaya satu mekanisme pemantauan dan audit oleh agensi khusus diwujudkan bagi memastikan semua rumah ibadat dibangunkan mengikut lunas undang-undang, mempunyai status tanah yang jelas serta melalui proses kelulusan sah.

Dalam masa sama, beliau menolak sebarang cubaan mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman bagi mengaburi isu sebenar sambil menggesa kerajaan serta pihak berkuasa tempatan bertindak tegas, telus dan adil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Jika pelanggaran undang-undang terus ditoleransi atas nama keharmonian palsu, ia hanya akan mewariskan budaya mencabar peraturan dan meruntuhkan prinsip keadilan yang sepatutnya menjadi asas kepada pentadbiran negara," jelas beliau.