Wajar kekalkan reformasi pentaksiran, kembalikan PT3 dan UPSR tak selesai isu pendidikan - ABIM

Iklan
Ahmad Fahmi berkata, ABIM bersedia bekerjasama dengan KPM sebagai rakan strategik masyarakat sivil.

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menolak pendekatan peperiksaan berkepentingan tinggi yang berisiko mengembalikan budaya persekolahan berorientasikan peperiksaan, sebaliknya menyokong pelaksanaan pentaksiran kebangsaan yang bersepadu.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, reformasi pendidikan yang sedang berjalan memerlukan masa, konsistensi dan keyakinan, bukannya perubahan arah yang tergesa-gesa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan untuk mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak akan menyelesaikan banyak persoalan penting berkaitan pendidikan kanak-kanak dan generasi muda.

"Pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini merupakan satu keputusan dasar yang besar dan berani. Justeru, keputusan tersebut wajar diperkemas, diperbaiki dan dimatangkan, bukannya dibatalkan secara tergesa-gesa.

Iklan

"Pendidikan ialah proses jangka panjang. Ketidaktentuan dasar yang berulang hanya akan melemahkan keyakinan guru, murid dan ibu bapa, serta merencatkan usaha pembinaan sistem pendidikan yang stabil.

"Perubahan dasar yang berulang-ulang bukan tanda keprihatinan, tetapi petunjuk kegagalan memegang prinsip dan komitmen jangka panjang," ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan akan mengkaji semula keperluan untuk mengembalikan semula UPSR dan PT3.

Sehubungan itu, KPM mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi melaksanakan kajian tersebut pada tahun ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu diambil selepas mengambil kira keluhan ramai ibu bapa berhubung pemansuhan UPSR pada 2021 dan PT3 pada 2022.

Beliau berkata, laporan kaji selidik oleh MPPK dan segala hasil dapatan berkaitan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut Ahmad Fahmi berkata, pihaknya berpandangan bahawa ketidakpuasan hati masyarakat hari ini bukan berpunca daripada ketiadaan peperiksaan, tetapi daripada kegagalan memantapkan pelaksanaan sistem pentaksiran sedia ada.

Jelasnya, isu sebenar terletak pada kekeliruan terhadap Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), ketidaksamaan kebolehpercayaan antara sekolah, latihan guru yang tidak mencukupi serta kelemahan komunikasi awam.

"Menghidupkan semula peperiksaan lama tidak menyelesaikan masalah ini, sebaliknya menutup kelemahan sebenar dengan jalan pintas yang cetek.

"Dalam hal ini, ABIM menegaskan bahawa pemerkasaan PBD mesti bermula dengan pengukuhan kompetensi guru sebagai pelaksana utama di lapangan. Latihan PBD perlu distrukturkan secara lebih praktikal, berfasa dan berterusan.

"Pada masa yang sama, usaha membina kefahaman dan kesedaran ibu bapa mengenai PBD perlu diperkukuh bagi menutup jurang komunikasi dan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan," ujarnya.

Dalam semangat reformasi yang tulen, ABIM turut mencadangkan agar pentaksiran nasional diperkukuh melalui pendekatan berkepentingan rendah yang berfungsi sebagai alat sokongan pembelajaran dan penanda aras sistemik, bukan sebagai mekanisme penentuan masa depan murid.

"Kembali kepada peperiksaan berkepentingan tinggi bukan langkah ke hadapan, tetapi satu langkah ke belakang yang berisiko mengulangi kesilapan dasar lampau serta menggagalkan matlamat jangka panjang pembangunan insan negara.

"Sehubungan itu, ABIM bersedia bekerjasama dengan KPM sebagai rakan strategik masyarakat sivil dalam memperincikan reka bentuk, pelaksanaan dan komunikasi awam berkaitan sistem pentaksiran kebangsaan yang lebih matang, konsisten serta berteraskan nilai kemanusiaan," jelasnya.