Mak janji nak wariskan tanah kelapa sawit, tapi...

Iklan
Dr Noraini Ismail

Soalan:

Semasa pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya Haji baru-baru ini, emak saya ada memaklumkan bahawa tanah kelapa sawit seluas dua ekar miliknya akan diberikan kepada saya sekiranya emak meninggal dunia. Ketika itu, Pak Long saya juga ada dan turut mendengar perbualan kami anak-beranak. Persoalannya, hibah yang dibuat oleh emak kepada saya adalah secara lisan. Benarkah hibah secara lisan ini boleh dicabar oleh waris yang lain?

Iklan
Iklan

Jawapan:

Terima kasih atas persoalan yang dikongsikan. Untuk menjawab soalan anda dengan lebih terperinci berdasarkan situasi sebenar yang dihadapi, iaitu berkaitan isu hibah lisan tanah kelapa sawit oleh ibu anda, berikut merupakan huraian berdasarkan prinsip syariah serta amalan di Mahkamah Syariah.

Iklan

Semasa pulang ke kampung, ibu anda menyatakan secara lisan bahawa tanah kelapa sawit miliknya akan diberikan kepada anda sekiranya beliau meninggal dunia. Perkara tersebut disaksikan oleh Pak Long anda, namun tiada dokumen bertulis disediakan dan tanah tersebut masih belum dipindah milik kepada anda. Isu utama dalam kes ini ialah hibah dibuat secara lisan serta bersyarat, iaitu hanya berkuat kuasa selepas kematian ibu, tanpa sebarang pindah milik atau dokumentasi rasmi.

Berdasarkan prinsip hibah, pemberian hibah mestilah berlaku semasa hayat pemberi dan penerima hendaklah menerima milikan (qabdh) semasa pemberi masih hidup. Dalam kes anda, kenyataan ibu bahawa tanah tersebut akan diberikan selepas kematiannya menjadikan pemberian itu berunsur wasiat, bukan hibah. Kesan daripada hal ini ialah wasiat kepada waris hanya sah dengan persetujuan semua waris lain dan tidak boleh melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta pusaka.

Iklan

Secara prinsip, hibah lisan boleh dianggap sah sekiranya memenuhi semua rukun hibah, termasuk penerimaan milikan oleh penerima semasa pemberi masih hidup. Selain itu, kewujudan saksi amat penting bagi menguatkan kesahihan hibah tersebut. Namun begitu, Mahkamah Syariah lazimnya berdepan kesukaran untuk mengesahkan hibah tanpa pematuhan rukun hibah yang jelas, khususnya apabila tiada dokumen sokongan seperti surat hibah atau bukti pindah milik.

Hibah yang dibuat secara lisan tanpa dokumen bertulis boleh dicabar, terutamanya di Mahkamah Syariah, atas alasan kekurangan bukti. Dalam sistem kehakiman, beban pembuktian terletak kepada pihak yang membuat tuntutan. Sekiranya hibah hanya dibuat secara lisan, penerima hibah berkemungkinan besar menghadapi kesukaran untuk membuktikan bahawa pemberian tersebut benar-benar berlaku. Tanpa dokumen atau saksi yang kukuh, mahkamah boleh memutuskan bahawa hibah tersebut tidak cukup bukti untuk disahkan.

Selain itu, hibah lisan juga lebih mudah dipertikaikan oleh waris-waris lain selepas kematian pemberi hibah. Mereka boleh mendakwa bahawa hibah tersebut tidak pernah dibuat atau dibuat dalam keadaan yang meragukan. Walaupun Mahkamah Syariah di Malaysia mengiktiraf hibah lisan sebagai sah dari sudut hukum syarak, pengiktirafan tersebut tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat tertentu. Berdasarkan situasi anda, status tanah masih atas nama ibu dan hibah hanya dinyatakan secara lisan, maka hibah tersebut boleh dianggap tidak sempurna dan boleh dicabar oleh waris lain. Mahkamah Syariah juga berhak menolak tuntutan hibah sekiranya rukun dan syarat hibah tidak dipenuhi serta tiada pembuktian yang menyokong dakwaan tersebut.

Sekiranya ibu anda meninggal dunia dalam keadaan tanah kelapa sawit itu masih atas namanya, kesahihan hibah yang dibuat semasa hayatnya masih terbuka untuk dicabar oleh waris-waris lain. Keadaan akan menjadi lebih rumit sekiranya satu-satunya saksi juga telah meninggal dunia. Dalam situasi ini, tanah tersebut akan dianggap sebagai harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.

Bagi mengelakkan pertelingkahan dalam kalangan waris pada masa hadapan, adalah disarankan supaya dokumen hibah bersyarat disediakan secara bertulis, lengkap dengan saksi dan mematuhi kehendak syariah. Hibah bersyarat merupakan antara solusi terbaik bagi melindungi kepentingan ibu anda semasa hayatnya, memandangkan beliau masih kekal sebagai pemilik sah tanah tersebut. Pindah milik hanya akan berkuat kuasa setelah ibu anda meninggal dunia, selaras dengan terma hibah yang dipersetujui.

Kesimpulannya, hibah secara lisan boleh dicabar oleh waris-waris lain sekiranya tidak memenuhi rukun dan syarat sah hibah. Dalam kes ini, hibah tersebut lebih menyerupai wasiat dan hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan waris-waris lain. Bagi mengelakkan sebarang pertikaian serta memastikan hak anda terpelihara, segeralah menyediakan dokumen hibah bertulis yang patuh syariah sebelum terlambat.

Dr Noraini Ismail

Pengasas Pennawaris Sdn Bhd

Syarikat Solusi Perancangan Harta dan Pengurusan Pusaka