SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah sebarang usaha merangka sistem pendidikan baharu perlu seiring dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai teras utama pelaksanaannya.
Seri Paduka Baginda bertitah, ia kerana sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas pembangunan bangsa, pembentukan jati diri dan penentu masa depan negara.
“Jika hendak buat sistem pendidikan baharu, ia mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa Kebangsaan.
"Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
"Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia," titah Baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15, di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.
Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak perlu kembali kepada asas pembentukan negara menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Menurut Seri Paduka Baginda, rakyat juga wajar menghayati semula niat asal pembentukan negara yang berteraskan perpaduan, hormat-menghormati dan kerjasama erat melibatkan negeri serta Kerajaan Persekutuan.
"Semua hendaklah lebih hati-hati supaya tidak menghasut sampai wujud ketegangan antara wilayah, sebarang perbezaan pandangan harus diselesaikan secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka.
“Hakikatnya, hak negeri perlu sentiasa dihormati. Namun begitu, kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat dalam dewan (Parlimen) ini, bukan hanya pendirian parti politik tetapi bakal menentukan masa depan kita,” titah Baginda.