PUTRAJAYA - Wisma Putra mengesahkan jenazah pelakon, Nadia Kasuma telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah, Arab Saudi pada jam 7.35 pagi, waktu tempatan.
Menerusi kenyataan pada Isnin, kementerian itu memaklumkan proses pengebumian jenazah turut dihadiri suami, Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah dan anak perempuannya.
Ujar Wisma Putra, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah bekerjasama rapat dengan waris terdekat serta pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan dan menyelaras semua urusan berkaitan pengebumian dan pengkebumian.
"Kementerian merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Kerajaan Arab Saudi, Hospital King Fahd dan agensi-agensi berkaitan yang lain, atas bantuan yang diberikan dalam hal ini," katanya.
Nadia Kesuma, 50, atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim dilapor hilang selepas gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah Selasa minggu lalu.
Beliau menyertai kumpulan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan bersama 21 peserta lain, bermula 14 hingga 28 Januari sepatutnya meneruskan penerbangan ke London selepas transit di Jeddah selama beberapa jam, namun tidak muncul ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah memaparkan Nadia Kesuma rebah secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital King Fahad pada jam 8.07 pagi Khamis dipercayai akibat serangan jantung.
Allaharyam meninggalkan tiga cahaya mata berusia antara 11 hingga 15 tahun.