Pelajar maut tercampak keluar kereta, 10 cedera dalam nahas tiga kenderaan

Iklan
Keadaan salah sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di di Kilometer 19.4 Lingkaran Tengah Utama (CSR) arah Raub pada Ahad. Foto Polis Bentong

BENTONG - Seorang pelajar maut selepas tercampak keluar dari sebuah kereta manakala 10 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 19.4 Lingkaran Tengah Utama (CSR) arah Raub pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.23 malam itu, mangsa, Puteri Nursyakirah Suzaimi, 19, yang merupakan penumpang kereta Toyota Yaris disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan iaitu Toyota Yaris, Toyota Alphard dan Ford Ranger.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Raub dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan lurus sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu jalan dan berpusing ke arah bertentangan.

Iklan

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak keluar dari kereta dan disahkan meninggal dunia manakala pemandunya, seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kedua-dua mangsa adalah pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Dalam kejadian sama, Zaiham berkata, sebuah Toyota Alphard yang datang dari arah sama dipercayai turut hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang jalan dan menggelongsor lalu menghempap Toyota Yaris tersebut.

Menurutnya, pemandu dan tiga penumpang Toyota Alphard termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun hingga warga emas berusia 74 tahun mengalami kecederaan ringan.

Jelasnya lagi, turut terlibat sebuah Ford Ranger yang melalui laluan sama, dipercayai hilang kawalan susulan kemalangan di hadapan sebelum terbabas ke dalam longkang konkrit kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

“Pemandu dan empat penumpang Ford Ranger termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia antara tiga hingga 23 tahun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Zaiham turut memaklumkan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk pemeriksaan teknikal dan pengambilan sampel darah serta urin pemandu yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama daripada orang awam yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.