PEKANBARU - Hampir 100 warga Rohingya di Pekanbaru, Provinsi Riau, Indonesia berhimpun di hadapan pejabat International Organization for Migration (IOM) di Jalan M Jamil, Bandar Serai, pada Isnin bagi menyuarakan tuntutan mereka berhubung peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan.
Kehadiran mereka bertujuan untuk mendapatkan bantuan yang lebih mencukupi bagi keperluan asas harian.
Peserta demonstrasi membawa sepanduk yang menekankan keperluan mendesak mereka, termasuk sokongan kewangan yang mencukupi, bantuan perubatan segera, pendidikan untuk anak-anak dan tempat tinggal yang lebih layak.
Demonstrasi berlangsung aman, dengan peserta menghadap ke jalan raya, sementara kawasan di sekitar pejabat IOM dikawal ketat oleh pegawai keselamatan.
Nuramin, seorang warga Rohingya yang telah menetap di Pekanbaru sejak 2020 menjelaskan bahawa bantuan yang diterima warga Rohingya dari IOM sejak 2023 semakin berkurangan.
Menurutnya, bantuan bagi seorang individu hanya berjumlah 1,050.000 rupiah (RM252), bagi pasangan suami isteri 1,700.000 (RM408),manakala keluarga dengan seorang anak hanya menerima 2,300.000 (RM552).
Menurut Nuramin, wang tersebut tidak mencukupi kerana sebahagian besar digunakan untuk sewa rumah, kos perubatan dan keperluan lain.
“Kami datang untuk menuntut kehidupan yang lebih layak. Bantuan yang diterima kini tidak memadai. Kami berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius agar sokongan bagi kehidupan harian warga Rohingya dapat dipulihkan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa warga Rohingya sering menerima layanan berbeza berbanding warga dari negara lain.
Demonstrasi itu menekankan aspirasi warga Rohingya untuk mendapatkan kehidupan yang lebih bermaruah dan mencukupi di tengah cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat di Pekanbaru. - Agensi