Penemuan mumifikasi cheetah berusia ribuan tahun di Arab Saudi mengejutkan

Iklan
Seorang saintis melihat bangkai cheetah yang dibawa ke makmal.-Agensi

RIYADH – Saintis menemui bangkai cheetah yang mengalami proses mumifikasi semula jadi di beberapa gua di utara Arab Saudi, satu penemuan luar biasa yang disifatkan sebagai belum pernah berlaku sebelum ini dalam kajian hidupan liar Asia Barat.

Menurut laporan CBS News pada 16 Januari 2026, penemuan itu melibatkan tujuh bangkai cheetah yang termumifikasi serta tulang-belulang 54 ekor cheetah lain, dengan usia dianggarkan antara 130 hingga lebih 1,800 tahun.

Iklan
Iklan

Tapak arkeologi tersebut terletak berhampiran bandar Arar.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Communications Earth and Environment menyatakan penemuan ini memberikan gambaran luar biasa mengenai sejarah evolusi dan kepupusan cheetah di Semenanjung Arab.

Iklan

Menurut penyelidik, mumifikasi tersebut dipercayai berlaku secara semula jadi hasil keadaan gua yang kering, suhu stabil dan persekitaran tertutup, yang menghalang proses pereputan.

Bangkai cheetah yang ditemui didapati masih mempunyai mata yang keruh dan anggota badan yang mengecut, menyerupai jasad kering.

Iklan

Pakar paleontologi dari Universiti Florence, Joan Madurell-Malapeira, menyifatkan penemuan tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa.

Bangkai cheetah yang ditemukan masih terpelihara.-Agensi

“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah saya lihat sebelum ini,” katanya.

Penyelidik bagaimanapun masih belum dapat memastikan mengapa begitu banyak cheetah berada di dalam gua yang sama.

Antara hipotesis yang dikemukakan ialah gua tersebut mungkin berfungsi sebagai tapak perlindungan (denning site), tempat ibu cheetah melahirkan dan membesarkan anak-anaknya.

Penulis utama kajian, Ahmed Boug dari Pusat Kebangsaan Hidupan Liar Arab Saudi, berkata, penemuan bangkai besar mamalia dalam keadaan terpelihara sebegini adalah amat jarang berlaku.

“Untuk menemui bukti cheetah purba yang masih utuh di rantau ini adalah sesuatu yang langsung tidak pernah direkodkan sebelum ini,” jelas beliau.

Cheetah suatu ketika dahulu mendiami sebahagian besar Afrika dan Asia, namun kini hanya bertahan di kira-kira 9 peratus daripada habitat asalnya.

Spesies ini tidak lagi dikesan di Semenanjung Arab sejak beberapa dekad lalu, dipercayai akibat kehilangan habitat, pemburuan tidak terkawal dan kekurangan sumber makanan.

Penemuan ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam kajian sejarah hidupan liar Asia Barat, malah mengukuhkan keperluan mendesak untuk usaha pemuliharaan spesies terancam di peringkat global.-Agensi