KLANG – Tindakan seorang individu menjadikan kebun haram bersebelahan Pangsapuri Seri Angkasa, Bandar Bukit Tinggi di sini sebagai lokasi judi sabung ayam terbongkar apabila diserbu polis ketika aktiviti itu sedang rancak dijalankan pada Ahad.
Sinar Harian yang berpeluang mengikuti serbuan dijalankan itu mendapati kawasan tanah terbabit dipagari dengan kepingan zink dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Lebih mengejutkan, dalang utama kegiatan terbabit yang juga seorang lelaki warga Indonesia dipercayai bertindak menukar nama asal Lorong Pangsapuri Seri Angkasa kepada ‘Lorong Iwan Pirang’.
Tindakan individu terbabit seolah-olah dijadikan penanda kawasan bagi memudahkan pemain mengenal pasti lokasi sabung ayam yang terletak kira-kira 10 hingga 15 meter dari blok pangsapuri berkenaan.
Serbuan dijalankan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu bermula sekitar jam 5.30 petang.
Keadaan mula kecoh apabila beberapa individu yang berada di lokasi terbabit cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.
Ada antara mereka terjatuh ketika meloloskan diri sebelum berjaya ditahan selepas kawasan berkenaan dikepung sepenuhnya oleh pasukan serbuan.
Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kegiatan judi sabung ayam sedang berlangsung dengan pertaruhan wang tunai, selain beberapa ekor ayam yang digunakan untuk berjudi turut dirampas bagi tujuan siasatan.
Siasatan awal mendapati kegiatan itu didalangi seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Wan Pirang, yang dipercayai bertindak sebagai penyelaras lokasi sabung ayam berkenaan.
Menurut lelaki itu, dia pada awalnya sekadar membela ayam di kawasan tersebut sebelum timbul permintaan daripada rakan-rakan untuk menjadikannya lokasi sabung ayam secara ‘suka-suka’.
Dia mendakwa aktiviti itu lazimnya diadakan sekali seminggu, kebanyakannya pada hujung minggu, bergantung kepada kehadiran pemain.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan itu dilaksanakan menerusi Op Cakar yang menumpaskan satu sindiket perjudian sabung ayam dan bola golek di kawasan kebun haram berhampiran pangsapuri terbabit.
"Serbuan menahan seramai 72 lelaki berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dan sabung ayam di lokasi berkenaan.
"Tangkapan membabitkan dua lelaki yang bertindak sebagai penganjur serta 70 pemain terdiri daripada 41 warganegara dan 31 bukan warganegara," katanya pada Isnin.
Katanya, dalam operasi itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM55,075 selain pelbagai peralatan perjudian.
"Pemeriksaan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor juga menemukan 14 ekor ayam hidup dan empat ekor ayam mati dipercayai akibat aktiviti sabung tersebut.
"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi kira-kira enam bulan dengan menjadikan kawasan kebun haram yang terselindung sebagai lokasi perlawanan sabung ayam setiap hari Ahad.
Menurutnya, nilai pertaruhan bagi setiap perlawanan dilaporkan mencecah sehingga RM10,000.
"Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Tambahnya, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan perjudian haram.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta tampil menyalurkan maklumat demi keselamatan serta kesejahteraan komuniti di negeri ini," katanya.