Bekas jurutera tukar pengakuan kes cuba guna duit palsu beli barang kemas

Iklan
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Isnin.

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas jurutera menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan cuba menggunakan wang palsu bagi mendapatkan barang kemas di sebuah kedai emas pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, tertuduh direkodkan membuat pengakuan bersalah ketika dihadapkan di mahkamah sama pada 5 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menggunakan 359 keping wang kertas RM50 palsu sebagai wang tulen di Kedai Emas Lelong Maya, Cabang Tiga, di sini, kira-kira jam 3.10 petang pada 18 Disember tahun lalu.

Iklan

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda, manakala Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu setengah daripada tempoh maksimum kesalahan asal.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hisham Hashim.