KLUANG – Tindakan seorang lelaki yang didakwa ingin bertemu bekas isterinya membawa kepada penahanan pasangan itu dalam satu operasi penguatkuasaan khalwat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Menurut JAINJ, sepasukan penguat kuasa tiba di lokasi pada jam 1.15 pagi dan mengetuk pintu bilik hotel berkenaan, namun pintu hanya dibuka selepas enam hingga tujuh minit walaupun pendingin hawa bilik didapati terpasang.
“Pintu bilik akhirnya dibuka oleh seorang lelaki berpakaian seluar panjang dan kemeja-T. Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita turut berada di dalam bilik berkenaan.
“Ketika ditanya, pasangan tersebut mendakwa mereka adalah suami isteri, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau surat nikah bagi mengesahkan status perkahwinan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati kedua-duanya kelihatan gelabah dan memberikan jawapan yang meragukan.
“Wanita berkenaan yang menetap serta bekerja di Kluang turut gagal menjelaskan alasan munasabah mengapa bermalam di hotel berkenaan.
“Penguat kuasa turut menawarkan untuk ke rumah wanita itu bagi mendapatkan pengesahan perkahwinan atau berjumpa dengan ibu bapanya, namun cadangan tersebut ditolak,” tambahnya.
Berikutan kegagalan mengemukakan bukti sah serta wujudnya keraguan hasil soal siasat, pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis serta Pejabat Penguat Kuasa JAINJ untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, siasatan mendapati pasangan berkenaan sebenarnya pernah berkahwin, namun telah bercerai kira-kira tiga hingga empat tahun lalu.
“Semakan dalam sistem perkahwinan berkomputer mengesahkan tarikh pernikahan dan tarikh perceraian mereka.
“Difahamkan, selepas perceraian, lelaki tersebut bekerja di negeri lain manakala kedua-duanya tidak berkahwin semula. Walaupun begitu, mereka kembali berhubung dan menyatakan hasrat untuk bernikah semula.
“Penguat kuasa merekodkan keterangan mereka dan pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” katanya.