LUMUT - [DIKEMAS KINI] Seorang pelancong wanita warga Taiwan ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti menyelam bersama keluarga di Pulau Giam, Pantai Teluk Nipah berhampiran Pulau Pangkor di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, mangsa berusia 72 tahun itu disedari dalam keadaan terlungkup tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.
“Ketika kejadian mangsa bersama suami, dua anak serta beberapa pelancong lain.
“Keadaan mangsa disedari oleh pemandu pelancong yang berada di atas bot sebelum segera mendapatkan bantuan,” katanya kepada media pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke tepi pantai untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat.