DUNIA kini menyaksikan satu pola yang semakin membimbangkan dalam hubungan antarabangsa, iaitu kecenderungan kuasa besar menggunakan tekanan ketenteraan dan paksaan strategik sebagai instrumen utama dasar luar.
Rentetan perkembangan bermula dengan tekanan dan serangan terhadap Venezuela, diikuti wacana keselamatan dan kepentingan strategik di kawasan Artik termasuk Greenland, dan kini memuncak dengan peningkatan konfrontasi terhadap Republik Islam Iran.
Kesemua episod ini mencerminkan satu corak dominasi kuasa yang mencabar prinsip kedaulatan negara dan berpotensi menggugat kestabilan sistem antarabangsa.
Iran, berbeza dengan beberapa negara yang pernah menjadi sasaran campur tangan, telah membina daya tahan nasional yang tinggi hasil mobilisasi ideologi, pendidikan strategik serta pembangunan industri pertahanan sendiri.
Sekatan ekonomi selama puluhan tahun tidak melumpuhkan negara itu, sebaliknya mempercepatkan keupayaan berdikari dalam teknologi strategik. Di peringkat antarabangsa, hubungan erat Iran dengan China dan Rusia menjadikan sebarang konflik terbuka berisiko berkembang menjadi krisis yang melibatkan pakatan kuasa besar, sekali gus meningkatkan kemungkinan eskalasi berskala global.
Krisis di Venezuela sebelum ini pula memperlihatkan bagaimana tindakan unilateral terhadap sebuah negara berdaulat boleh mencetuskan kesan domino dalam politik dunia.
Campur tangan terbuka, sekatan ekonomi yang menekan rakyat, serta perebutan pengaruh geopolitik di Amerika Latin telah mengundang kecaman meluas, khususnya daripada negara-negara membangun yang melihatnya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di Eropah pula, perbincangan mengenai kepentingan strategik Greenland telah membuka dimensi baharu persaingan kuasa di kawasan Artik, yang kaya dengan sumber dan semakin penting dari sudut laluan perdagangan serta keselamatan.
Kesan ketegangan ini tidak terhad kepada medan ketenteraan semata-mata, tetapi turut memberi impak langsung kepada ekonomi dunia. Kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga dari Asia Barat telah mencetuskan turun naik harga minyak, menjejaskan rantaian bekalan global dan meningkatkan kos sara hidup rakyat di banyak negara.
Ini membuktikan bahawa konflik geopolitik hari ini bersifat menyeluruh, melibatkan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan manusia sejagat.
Walaupun Malaysia tidak lagi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2026, peranan negara di pentas antarabangsa kekal signifikan. Sebagai sebuah kuasa pertengahan (middle power) yang dihormati, Malaysia mempunyai keupayaan unik untuk bertindak sebagai jambatan dialog antara kuasa besar, dunia Islam dan negara-negara membangun.
Dasar luar Malaysia yang bebas, berkecuali dan berprinsip meletakkan negara ini dalam kedudukan yang sesuai untuk mempromosikan diplomasi, meredakan ketegangan serta menggalakkan penyelesaian konflik melalui perundingan dan undang-undang antarabangsa.
Sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) dan suara dunia Islam yang progresif, Malaysia juga memikul tanggungjawab moral untuk mengangkat prinsip keadilan, keamanan dan kemanusiaan sejagat.
Dunia Islam, yang sering menjadi medan perebutan pengaruh geopolitik, memerlukan suara yang tegas tetapi rasional, yang menolak keganasan, menghormati undang-undang antarabangsa, serta mengutamakan dialog antara tamadun.
Institut Kajian Dasar (IKD) berpandangan bahawa dunia hari ini memerlukan kepimpinan global yang berani meninggalkan politik konfrontasi dan kembali kepada asas multilateralisme yang tulen.
Keamanan tidak boleh dicapai melalui ancaman dan pengeboman, tetapi melalui kepercayaan, diplomasi, serta kesediaan untuk mengiktiraf kepelbagaian sistem politik dan budaya.
Rentetan krisis dari Caracas ke Artik, dan dari Asia Barat ke arena global, seharusnya menjadi peringatan bahawa keselamatan sejagat adalah saling berkait. Keamanan di satu wilayah tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan di wilayah lain.
Malaysia, melalui peranannya sebagai negara Islam sederhana yang disegani dan kuasa pertengahan yang berprinsip, harus terus tampil sebagai pendukung tegar diplomasi, keadilan dan keamanan, demi menyumbang kepada pembentukan sebuah tatanan dunia yang lebih stabil, seimbang dan berperikemanusiaan.
* Amirul Fahmi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD)