PPP kini diiktiraf parti komponen BN - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (depan, kanan) merasmikan Perhimpunan Agung PPP ke-72 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ahad. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Parti Progresif Penduduk (PPP) kini diiktiraf sebagai sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, formaliti pengiktirafan itu akan diadakan pada mesyuarat dewan tertinggi BN di Kota Kinabalu pada 21 Januari.

Iklan
Iklan

"Di sini saya memegang surat perutusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang bertarikh 25 Nov 2025 yang berbunyi bahawa PPP sebuah parti dalam Barisan Nasional,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP ke-72 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Ahad.

Hadirin dan perwakilan kemudiannya bangun dan bersorak kegembiraan sambil meluangkan ‘hidup PPP’.

Iklan

Turut hadir, Presiden PPP, Datuk Dr J Loga Bala Mohan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Wanita BN/UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda BN/UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan barisan kepimpinan tertinggi serta perwakilan PPP.

Beliau berkata, selepas ini, tiada mana-mana parti yang boleh mempertikaikan kedudukan sah PPP dalam BN.

Iklan

Pada sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid berkata, pengiktirafan berkenaan mengesahkan PPP sebagai anggota penuh BN dan pengumuman rasmi sengaja ditangguhkan supaya dapat dibuat semasa Perhimpunan Agung PPP.

"Saya dan rakan-rakan sengaja melambatkan pengumuman ini, kerana kami menunggu Perhimpunan Agung PPP diadakan," katanya.

Ahmad Zahid berkat, keanggotaan teras BN kini melibatkan lima parti iaitu UMNO, MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PPP.

Beliau berkata, pengiktirafan PPP adalah penting bagi memastikan kestabilan serta memperkukuh kesatuan dalam kalangan parti komponen BN. - Bernama