Lelaki ditahan rotan, baling kerusi ke arah anak saudara

Iklan
Video berdurasi kira-kira 35 saat memaparkan kejadian itu tular di media sosial.

PETALING JAYA - Pertelingkahan dengan nenek dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak memukul anak saudaranya menggunakan rotan dan membaling kerusi dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.21 petang pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Laporan polis dibuat oleh seorang warga tempatan berkaitan kes seorang kanak-kanak dipukul dalam daerah Petaling Jaya.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di sekitar Petaling Jaya dan suspek merupakan bapa saudara kepada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, mangsa berusia antara lapan hingga 11 tahun.

"Hasil maklumat diperoleh membawa kepada penahanan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.

Iklan

"Beberapa barang kes turut dirampas untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau tidak sahih berkaitan kes berkenaan di media sosial.

"Saksi yang mempunyai sebarang maklumat dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222," katanya.

Tambah beliau, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Irfan Emir Mohd Alwi di talian 016-5379 507 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, video berdurasi kira-kira 35 saat memaparkan kejadian itu tular di media sosial.