Budaya Yeye: Siasatan menyeluruh ikut prosedur dalaman ketat tanpa kompromi - Adly

Iklan
Adly (tengah) melihat hiasan Tahun Baharu Cina yang menekankan aspek perpaduan pelbagai masyarakat berbilang bangsa di negara ini, selepas Majlis Pelancaran Hiasan Tahun Baharu Cina di Kampung Permai Machap Umboo Baru pada Sabtu. Foto: Bernama

ALOR GAJAH - Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut prosedur dalaman yang ketat tanpa kompromi melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikaitkan dengan budaya 'Yeye' atau hedonisme.

Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata, siasatan itu dilaksanakan jawatankuasa ditubuhkan di bawah semua domain pertahanan tentera darat, laut dan udara yang mempunyai peraturan serta disiplin ketat dan jelas.

Iklan
Iklan

"Di MINDEF, kita tidak benarkan sebarang perlakuan yang bercanggah dengan budaya ketenteraan dalam mana-mana domain pertahanan kita, sama ada kes itu terpencil atau tidak.

"Kalau berlaku pelanggaran pada disiplin, kita akan bertindak pada peringkat dalaman... akan ada jawatankuasa ditubuhkan dan siasatan akan dilakukan termasuk membawa kes berkenaan ke mahkamah tentera,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Hiasan Tahun Baharu Cina di Kampung Permai Machap Umboo Baru, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem di sini pada Sabtu.

Adly berkata, menerusi siasatan yang dijalankan itu, anggota atau pegawai dikaitkan aktiviti tidak bermoral itu dijamin hak mempertahankan atau membuktikan diri mereka tidak bersalah sebelum sebarang hukuman dijatuhkan.

Iklan

Beliau berkata, rakyat diminta untuk tidak mempertikaikan pengorbanan anggota dan pegawai ATM disebabkan isu berkenaan, kerana tanggungjawab mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara telah terbukti.

"Di MINDEF, kita ada lebih daripada 130,000 anggota serta pegawai ATM, manakala kita juga ada kira-kira 300,000 veteran tentera dan mereka sudah korbankan masa, kepentingan keluarga dan sebahagiannya mengorbankan nyawa mereka untuk negara,” katanya.

Semalam media melaporkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman mengesahkan sebanyak 15 pegawainya dikenal pasti terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya 'Yeye', seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Sebelum ini, sebanyak 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut dikenal pasti terbabit dengan aktiviti tidak bermoral itu dan siasatan kes telah dilengkapkan sebelum ke proses perundangan dalam masa terdekat. - Bernama